|
Abang Mat Sabu - pemimpin gerakan massa |
Semakin dekat dengan tarikh keramat PRU-13 bakal diumumkan semakin panas spekulasi tentang di manakah para pemimpin baik PR mahupun yang disebelah sana bakal bertanding, semakin hari semakin bertiup kencang, terutama di kalangan para penyokong masing-masing.
Tidak ketinggalan kepada Timbalan Presiden PAS, Tuan Haji Mohamad Sabu yang lebih mesra disapa dengan nama Mat Sabu ataupun Abang Mat. Beliau yang boleh dikategorikan sebagai pemimpin rakyat, pemimpin marhaen, ataupun pemimpin massa memang sering menjadi tumpuan setiap kali diambang pilihanraya sama ada PRU ataupun PRK.
Akhir-akhir ini telah dispekulasikan bahawa Abang Mat akan diletakkan antaranya di Parlimen Batu Kawan, Parlimen Kepala Batas, dan terakhir sekali di war-warkan pula akan bertanding di Parlimen Pendang, Kedah.
Namun begitu sesuaikah Abang Mat bertanding di kawasan-kawasan parlimen yang dinyatakan tersebut? Kenapa tidak dibawa Abang Mat bertanding di Ibu Kota, sesuai dengan kedudukannya sebagai pemimpin di peringkat nasional!
Mungkin ada yang berhujah bahawa dengan membawa Abang Mat bertanding di Batu Kawan ataupun Pendang adalah demi menjamin beliau akan menang mudah dan seterusnya menjamin beliau akan kembali ke parlimen. Apakah PAS tidak yakin peluang mereka di Titiwangsa?
Sebelum ini timbul juga spekulasi bahawa Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali akan dibawa dari Terengganu untuk PAS mempertaruhkan beliau bagi mempertahan kerusi tunggal PAS di Wilayah Persekutuan tersebut. Namun apabila diperhalusi, Dato' Mustafa Ali agak kurang sesuai dipertaruhkan di Titiwangsa, memandangkan keperluan penduduk Titiwangsa memerlukan seorang pemimpin yang lebih berkaliber, dekat di hati rakyat dari semua bangsa dan tidak elitis. Titiwangsa terutamanya Kampung Baru memerlukan seorang pemimpin gerakan rakyat yang telah teruji dengan seribu macam rintangan bagi menangani isu-isu mendatang terutamanya isu pembangunan Kampung Baru yang cuba dipaksakan ke atas para pemiliknya.
Oleh yang demikian rasanya tidak ada orang lain yang lebih sesuai untuk dibawa ke gelanggang Titiwangsa, melainkan Abang Mat Sabu!