RENUNG-RENUNGKAN LAH WAHAI SAHABAT


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Surah A-Maidah ayat 8)


Jumaat, 9 Oktober 2015

SIAPA YANG LEBIH PENGKHIANAT?

KERJASAMA DENGAN 'PENGKHIANAT'

Saya sebenarnya amat tidak berminat untuk berbalah dengan PAS. Tetapi malangnya disebalik kepincangan pentadbiran negara, isu perkauman yang semakin meruncing, isu 1MDB dan sebagainya; PAS kelihatan bagaikan tidak mampu bercakap mengenai perkara lain selain mengenai parti Amanah Negara. Kami terus difitnah dan digelar dengan gelaran yang menghina.

Dan apabila Presiden PAS sendiri mula menggelar AMANAH sebagai ‘pengkhianat’, maka kami perlu respon. Dalam masa terdekat ini saya akan turut mengemukakan respon terhadap fitnahnya bahawa kami mahu jadikan PAS parti sekular dan sebagainya.

Walaupun adalah lebih wajar sekiranya PAS menumpukan pada usaha menjatuhkan UMNO, tetapi memusnahkan AMANAH telah menjadi keutamaannya pada ketika ini.

ISU ‘PENGKHIANAT’

Saya membaca dengan penuh tekun laporan The Malaysian Insider berhubung satu ucapan oleh Ustaz Hadi Awang, Presiden PAS. Beliau dilaporkan berkata bahawa PAS tidak boleh berkerjasama dengan parti Amanah Negara yang beliau sifatkan sebagai “pengkhianat kepada perjuangan PAS”. Beliau turut dilaporkan sebagai berkata, PAS bersedia bekerjasama dengan pihak lawan, namun tidak dengan pengkhianat.

Video ucapan Presiden PAS ini telah turut disebar melalui FB dan WhatsApp oleh ahli PAS dan amat jelas sikap tegas beliau akan menjadi alasan untuk PAS tidak menyertai PR 2.0. Saya turut menjangkakan bahawa kemungkinan besar AMANAH akan dipersalahkan atas ketidak bersamaan PAS dalam pembentukan PR 2.0, sedangkan pada hakikatnya Presiden sudah tidak berminat dengan PR dan lebih berminat untuk berkerjasama dengan ‘pihak lawan’.

PEMIKIRAN PRESIDEN PAS

Yang menjadi sedikit aneh pada saya adalah apabila sikap tegas dan tiada kompromi terhadap ‘pengkhianat’ ini tidak mampu menghalang Presiden PAS untuk sendiri mengkhianati PR. Dan ini dilakukan beliau bukan sekali tetapi berulang kali! Amat pelik bagi saya apabila seseorang mengutuk dan mengkritik sikap tertentu tetapi apabila dirinya sendiri melakukannya, terhadap rakan-rakannya sendiri, ianya seolah-olah tidak mengapa. Adakah ianya hanya satu kesalahan apabila PAS ‘dikhianati’, tetapi tidak mengapa untuk PAS mengkhianati?

Adakah mungkin Presiden PAS telah lupa mengenai peristiwa Kota Damansara? Di mana persetujuan telah tercapai di setiap peringkat samada Kawasan, Negeri dan Pusat, bahawa itu adalah kerusi PKR tetapi atas desakan tertentu, maka dibenarkan menantunya meletakkan rakannya sebagai calon PAS. Dan akhirnya calon UMNO/BN menang hasil dari pengkhianatan PAS! Tidakkah itu satu pengkhianatan? Atau ianya hanya khianat apabila PAS yang dilukai? Tetapi apabila ianya dilakukan oleh PAS maka ianya bukan pengkhianatan kerana khianat hanya boleh berlaku terhadap PAS?

Begitu juga dengan kata-kata kesat beliau terhadap calon PKR Kota Damansara yang diucapkannya sewenang-wenangnya, menghukum Dr. Nasir sebagai manusia yang ‘mempertuhankan Marx’? Sedangkan jumpa dan berbincang dengan Dr. Nasir sekali pun tidak pernah! Tidakkah itu juga satu pengkhianatan? Sudah pasti kata-kata sebegitu telah menyumbang kepada kemenangan UMNO/BN dan kekalahan PKR!

Sepertimana juga dengan tuduhan liar ‘pil kuda’ tanpa dibawanya saksi ataupun bukti tetapi main cakap ikut sedap mulut semata-mata. Sedangkan PKR itu rakan. Bukankah meluahkan tuduhan sebegitu di khalayak umum juga satu pengkhianatan?

Saya tidak mahu menceritakan setiap satu peristiwa pengkhianatan yang telah berlaku terhadap rakan-rakan dalam PR. Tetapi ini sekadar untuk membuka mata mereka yang dengan mudah hendak menuduh orang lain ‘pengkhianat’ seolah-olah diri mereka bersih dan bebas dari apa-apa salah laku. Kesemua tindakan khianat ini terhadap rakan PR telah ditegur dan cuba diperbetulkan tetapi akhirnya kami pula dituduh lebih PR dari PAS! Sedangkan membetulkan perjalanan PAS adalah untuk kepentingan PAS! Namun apakan daya, apabila dianggap PAS boleh buat sesuka hatinya kerana ianya PAS kerana hanya PAS yang Islam.

PENGKHIANATAN TERBESAR: TERTUBUHNYA KERAJAAN PAS/UMNO DI SELANGOR

Tetapi usaha khianat yang terbesar yang tidak boleh dilupakan ialah apabila Presiden PAS dengan sedar dan sengaja, bersekongkol dengan UMNO untuk pertahankan TSKI sebagai MB Selangor semasa krisis MB Selangor yang lepas. Melalui tindakan beliau, TSKI telah memecat semua exco PKR dan DAP! Kerajaan PAS/UMNO dengan TSKI telah berkuasa di Selangor untuk tempoh melebihi seminggu!

Akhirnya kerajaan PAS/UMNO dengan TSKI telah dijatuhkan apabila 2 ADUN PAS menyatakan mereka tidak sokong TSKI sebagai MB. Mereka berdua telah menanda-tangani Surat Akuan Sumpah menyokong DS Wan Azizah sebagai MB bersama 28 ADUN yang lain dari PKR dan DAP.

Kemarahan Presiden PAS begitu memuncak sehingga semasa muktamar PAS ke 59 beberapa bulan selepas itu beliau keluarkan tuduhan adanya “Broker dan Barua” serta tuduhan 2 ADUN dibeli mengumukakan sebarang bukti mahu pun saksi. Presiden PAS marah kerana ‘dikhianati’ 2 ADUN tersebut tetapi dia tidak nampak pengkhianatan yang telah dia sendiri lakukan terhadap PR dan pengundi Selangor.

Tidak memadai dengan itu, sebagai tindak balas, Presiden PAS telah menawarkan kepada Azmin Ali jawatan MB sekiranya beliau masuk PAS bersama dua atau tiga ADUN PKR yang lain. Ini akan dilakukan setelah TSKI memegang jawatan MB terlebih dahulu untuk tempoh 6 bulan. Adalah jelas bahawa PAS akan hanya mampu mengekalkan TSKI sebagai MB untuk tempoh 6 bulan dan menggantikannya dengan Azmin sekiranya usaha PAS ini disokong UMNO. Ini kerana PAS hanya mempunyai 13 kerusi (tanpa 2 ADUN yang pasti tidak akan sokong). Dan sekiranya dicampur dengan TSKI dan Azmin bersama 3 lagi ADUN PKR, jumlahnya hanya 18 kerusi ADUN. Sedangkan 29 diperlukan untuk membentuk kerajaan. Sudah pasti kekurangan ini tidak akan ditampung oleh PKR atau DAP. Maka ianya akan ditampung oleh UMNO yang mempunyai 12 kerusi ADUN!

KESIMPULAN

Sekiranya kerjasama tidak boleh diadakan dengan ‘pengkhianat’ maka sudah pasti yang pertama tidak boleh diadakan kerjasama adalah dengan PAS.

Bagi kami dalam Amanah, kami dianggap pengkhianat kepada PAS kerana menentang pengkhianatan PAS terhadap PR. Yang menentang pengkhianatan dianggap pengkhianat dan yang mempertahankan pengkhianatan dianggap penyelamat.

Dengan sikap sebegitu, tidak salah untuk ditanya adakah masih ada tempat lagi bagi PAS dalam politik masa depan Negara?

WaLlahu 'Alam 
KHALID SAMAD

Tiada ulasan:

Catat Ulasan