RENUNG-RENUNGKAN LAH WAHAI SAHABAT


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Surah A-Maidah ayat 8)


Memaparkan catatan dengan label Pakatan Harapan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pakatan Harapan. Papar semua catatan

Ahad, 18 Oktober 2015

DEKLARASI BOSPHORUS UNTUK SELAMATKAN MALAYSIA

Pemimpin Malaysia yang telah berkumpul di Bosphorus, Istanbul, Turkey, pada 17 Oktober 2015 mendesak seluruh rakyat Malaysia agar bersatu demi menyelamatkan negara dari ancaman perkauman, fahaman agama yang sempit, ekstremis dan ketidak toleransian.

Malaysia sedang berhadapan saat paling getir apabila beberapa isu kritikal menghambat negara dalam satu masa melibatkan aspek politik, ekonomi, sosial dan hubungan antara kaum.

Kami menggesa seluruh rakyat agar bersatu padu untuk menyelamatkan Malaysia demi memastikan kita tidak terjerumus ke kancah huru-hara yang memusnahkan harapan seterusnya dapat bangkit dari krisis melalui transisi demokratik kearah membina Malaysia sebagai sebuah negara contoh yang moderat dan bertoleransi untuk dicontohi dunia.

Seruan kami ini juga ditujukan kepada ahli parlimen UMNO dan Barisan Nasional yang turut sama menjadi elemen penting untuk melakukan perubahan secara demokratik semasa parlimen bersidang bermula Isnin 19 Oktober 2015 ini.

Maka, dalam konteks inilah kami mengalu-alukan pertemuan bersejarah yang telah mempertemukan bekas-bekas pemimpin veteran UMNO/Barisan Nasional termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Sanusi Junid, Datuk Seri Shafie Apdal, Tun Ling Liong Sik dan Tan Sri Ong Tee Keat.

Kami menggesa kesemua pemimpin veteran UMNO/Barisan Nasional ini agar selangkah kehadapan merealisasikan perubahan yang dapat memberi kesan terhadap sidang parlimen yang bakal berlangsung nanti.

Bosphorus adalah selat yang menghubungkan antara benua Eropah dan Asia. Maka para pimpinan politik berhimpun di sini dengan semangat harapan baharu untuk Malaysia dan negara akan bangkit menjadi obor harapan baru dipentas dunia.

Selaku bangsa Malaysia berdaulat. Marilah kita bersatu selamatkan Malaysia diatas semangat Rukunegara:-

Kepercayaan kepada Tuhan;
Kesetiaan kepada Raja dan Negara;
Keluhuran Perlembagaan;
Kedaulatan Undang-Undang;
Kesopanan dan Kesusilaan.

Nurul Izzah Anwar, Naib Presiden, Parti KeADILan Rakyat
Salahuddin Ayob, Timbalan Presiden, Parti Amanah Negara
Liew Chin Tong, Pengarah Pendidikan Politik, Parti Tindakan Demokratik

Isnin, 12 Oktober 2015

KITA TERPAKSA AKUI BN LEBIH KUKUH!

Walaupun kelihatan pada zahirnya MCA, terutama melalui sayap pemudanya, marah-marah kepada PM, marah-marah kepada UMNO atas beberapa isu yang berlaku mutakhir ini, tetapi akhirnya bila Ajib Gor datang bawak "gula-gula" semuanya balik asal... Cuma gertak sambal saja!

Walaupun dihina macam mana sekalipun akhirnya MCA atau MIC akhirnya akan akur kepada Big Brothernya. BN kelihatannya begitu kukuh sekukuh Tembok Besar Negara China!

Bagaimana pula PR? Asas penggabungan sejak dari awal lagi amat disangsikan. Bagaimana mungkin nak ada satu gabungan yang kompak kalau asas gabungannya adalah "bersetuju untuk tidak bersetuju?" Amat lucu sekali. Namun atas semangat untuk melihat wujudnya satu gabungan yang dapat nencabar keegoan BN maka majoriti rakyat jelata menyambut baik gabungan ini demi masa depan negara tercinta.

Akhirnya apa yang dikatakan "bersetuju untuk tidak bersetuju" akhirnya membuahkan hasil. DAP dan PAS saling bercakaran. PAS boleh bertanding melawan rakan sendiri atas "takwil" mereka sendiri. Rakyat jadi terpinga-pinga!

Kini diusahakan pula gabungan baru dengan nama yang begitu molek, Pakatan Harapan! Betullah kata Mahfuz, jangan jadi Menaruh Harapan, lagu Zaiton Sameon!

Belum apa-apa lagi sudah terserlah akan kepincangan gabungan ini apabila PKR awal-awal lagi sudah berlagak Abang Besar dengan membuat resolusi bagi pihak PH. Yang paling menyolok hati adalah PKR boleh mengadakan sebarang hubungan dua hala dengan mana-mana pihak yang mereka sukai!

Sepatutnya sebarang resolusi dan arahtuju PH mestilah lahir daripada perbincangan wakil-wakil gabungan PH, PKR, DAP dan AMANAH!

Apakah gabungan ini juga berpegang kepada prinsip asas "bersetuju untuk tidak bersetuju?" Kalau begini keadaannya maka dengan berat hati kita terpaksa mengakui bahawa BN adalah satu gabungan yang amat kukuh untuk ditewaskan!

Adiossss...

Sabtu, 10 Oktober 2015

KENYATAAN BERSAMA PAKATAN HARAPAN - MENJUNJUNG TITAH DYMM RAJA-RAJA

Pakatan Harapan menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja-raja Melayu mengenai isu-isu mutakhir dalam negara yang perlu diberi perhatian segera. Kami merafak sembah menjunjung kasih di atas keprihatian Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja-raja Melayu yang memberi pedoman kepada rakyat dalam isu-isu penting yang dititahkan.
Pakatan Harapan bersetuju bahawa isu kegawatan kewangan 1MDB dan risikonya terhadap ekonomi negara perlu ditangani dengan segera. Pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak lagi boleh melengah-lengahkan keputusan-keputusan yang penting mengenai 1MDB kerana kegawatan yang berlarutan telah dan akan membawa kesan buruk kepada ekonomi negara.

Oleh itu, Pakatan Harapan menyeru supaya semua institusi awam dan agensi penguatkuasaan di negara ini memainkan peranan dengan sebebas mungkin supaya kemelut 1MDB dapat diselesaikan segera seperti yang dititahkan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja-raja Melayu. Sebarang cubaan oleh mana-mana pihak untuk campur tangan atau mempengaruhi siasatan atau tindakan institusi awam dan agensi penguatkuasaan yang bertanggungjawab boleh ditafsirkan sebagai mengengkari titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja-raja Melayu.

Pakatan Harapan juga sedang memuktamadkan Belanjawan Pakatan Harapan yang akan dibentangkan sebelum pembentangan belanjawan kerajaan. Di antara fokus utama di dalam Belanjawan Pakatan Harapan ini adalah langkah-langkah muktamad untuk menyelesaikan masalah 1MDB ini dengan segera untuk melindungi rakyat daripada terus terheret dengan sentimen ekonomi yang murung akibat masalah 1MDB.

Pakatan Harapan menjunjung kasih di atas keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja-raja Melayu yang menitahkan supaya keharmonian kaum dan perpaduan dijaga demi kesejahteraan negara. Titah tersebut adalah tepat mengambil kira pelbagai kejadian akhir-akhir ini yang seolah-olah cuba melaga-lagakan satu kaum dengan kaum-kaum yang lain kebelakangan ini.

Oleh itu, Pakatan Harapan mengajak semua rakyat Malaysia untuk bersama-sama menghayati titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja-raja Melayu itu agar menghindari perbuatan atau pengucapan yang menyinggung perasaan orang lain terutamanya yang bersabit kaum dan agama. Pakatan Harapan akan terus memainkan peranan menemukan rakyat pelbagai kaum, agama dan latar belakang untuk memupuk budaya saling memahami bagi mengendurkan keadaan jika ada percubaan untuk menimbulkan ketegangan kaum dan agama.
Kami berdoa agar Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja-raja Melayu akan terus memayungi rakyat jelata dalam mengharungi cabaran mutakhir ini.

YB  DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden KEADILAN
YB LIM KIT SIANG
Ketua Parlimen DAP
YBHG MOHAMAD SABU
Presiden AMANAH
8 OKTOBER 2015