Diberitakan ada puak-puak (yang sudah pasti akan disokong UMNO-BN) ingin menubuhkan satu lagi badan yang seumpama Majlis Peguam atau Bar Council di Malaysia ini atas alasan kononnya badan tersebut telah tersasar arah tujunya yakni menentang kerajaan. Bagi mereka Bar Council haruslah menjadi Pak Angguk dan menyokong segala tindakan pihak pemerintah membuta tuli seumpama PERKASA, JATI dan sebagainya!
Majlis Peguam ialah sebuah badan bebas yang ditubuhkan di bawah Ordinan Peguam Bela dan Peguam Cara 1947 (kemudian dimansuhkan digantikan oleh Akta Profesion Undang-undang 1976). Tujuan badan ini adalah untuk mendukung kedaulatan undang-undang dan perjuangan keadilan serta untuk melindungi kepentingan profesion undang-undang dan kepentingan orang ramai.
Profesion undang-undang Malaysia mempunyai lebih kurang 12,000 ahli dan keahliannya sedang bertambah sebanyak 10-15% setahun. Setiap peguam bela dan peguam cara adalah ahli Badan Peguam Malaysia secara automatik asalkan mereka memegang perakuan amalan yang sah.
Berita ura-ura menubuhkan badan alternatif kepada Majlis Peguam Malaysia dicetuskan bukanlah oleh orang tepi jalan atau mamak mee, tetapi oleh seorang menteri yang berlatar-belakangkan undang-undang, Nazri Aziz! Alasan beliau adalah kerana Majlis Peguam tidak lagi bebas dan berpihak. Bagi Nazri segala tindakan tidak memihak kepada mereka adalah tindakan tidak bebas.
Kitapun hairan dengan tindakan puak-puak ini. Majlis peguam adalah sebuah badan bebas yang mempunyai keahlian yang terdiri dari golongan cerdik pandai dan amat arif dengan undang-undang. Kalau ada ahli-ahli yang tidak bersetuju dengan sesuatu perkara kan boleh dipanggil mesyuarat agung tergempar untuk diusulkan undi tidak percaya kepada pemegang jawatan sekarang. Asalkan usul anda mendapat sokongan yang mencukupi untuk bertindak sebegitu.
Kalau ada ahli Majlis Peguam yang bertindak berlainan daripada amalan orang berpesatuan bagi melahirkan rasa tidak puas hatinya, bermakna orang sedemikian adalah bodoh dan bangang dalam memahami undang-undang tubuh badan yang dianggotainya, walaupun beliau seorang peguam.
Kita tidak hairan dengan tindakan pantas pihak pemerintah yang mengusulkan penubuhan sebuah badan alternatif bagi menyaingi Majlis Peguam kerana selama inipun mereka sering menubuhkan badan kedua apabila badan yang asal tidak lagi berpihak kepada mereka seperti penubuhan JKKK Persekutuan, Penyelia Pembangunan Mukim, dan seumpamanya. Malahan Sultanpun mereka cuba tabalkan apabila Sultan yang sedia ada kelihatannya tidak condong kepada kehendask mereka!
Apalah yang nak dihairankan kerana mereka berjaya memerintah Malaysia atas dasar PECAH DAN PERINTAH!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan