SAYA tertarik dengan pendedahan terbaru National Oversight and Whistleblowers hari ini tentang pemusatan kekayaan sebuah badan amal jariah kepada beberapa individu dan kaum kerabat mereka.
Ini amat memeranjatkan. Saya tidak pernah menyangka sebuah yayasan yang berfungsi membantu umat Islam memajukan ekonomi mereka boleh dicemari skandal yang begitu jijik dan memualkan.
Pada saat rakyat seluruh negara sedang diperah keringat dan wang ringgit mereka dengan pengenaan cukai dan kenaikan kos sara diri, saya amat terkejut dengan pendedahan yang dibuat berkenaan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).
Antara yang paling memualkan ialah pendedahan mengenai seorang pemimpin wanita Umno, yang menerima elaun untuk dua jawatan yang pada saya seolah-olah tidak ada banyak beza.
Jawatan pertama ialah Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, dan yang satu lagi berbunyi Timbalan Presiden Lembaga Pemegang Amanah. Kedudukan ini memberi pulangan elaun bulanan dan keraian bernilai RM15,000 setiap satu, secara bulanan.
Pening juga kepala memikirkannya. Bagaimanakah seseorang diperuntuk elaun keraian setiap bulan pada jumlah RM15,000? Apakah yang diraikannya setiap bulan sampai sebanyak itu? Malah, jumlah pulangan beliau setiap bulan mencecah RM45,000.
Lebih menarik lagi, anak dan suami pemimpin wanita Umno itu turut menerima pulangan bulanan daripada YaPEIM; menjadikan pendapatan setiap bulan keluarga tersebut mencecah RM81,700.
Si anak memegang jawatan pengarah di enam anak syarikat yayasan terbabit, dengan hasil mudah RM31,200 satu bulan.
Itu baru timbalan.
Presiden Lembaga Pemegang Amanahnya pula mempunyai sepuluh jawatan di pelbagai panel, jawatankuasa dan anak syarikat yayasan tersebut. Beliau membawa pulang pendapatan bulanan sebanyak RM73,000.
Hairan, kerana pada kedua-dua surat yang mengesahkan bayaran itu diluluskan ada tertulis: ‘Institusi Amal Jariah Anda’. Mungkin slogan ini boleh ditukar menjadi ‘Institusi Amal Jariah Kami dan Anak-beranak Kami’.
Tidak masuk akal sebuah yayasan berasaskan ‘amal jariah’ khusus buat pembangunan ekonomi umat Islam memberi keuntungan atas angin kepada ‘pemegang amanah’nya dengan jumlah yang begitu besar, hanya dengan kedudukan dan jawatan sebagai pemegang amanah.
Padahal kita semua sedia maklum, masih lagi ramai orang Melayu beragama Islam yang jenuh mencari rezeki mengais sesuap nasi untuk mandiri hari demi hari.
Saya terkenang nasib mangsa banjir di Kelantan, yang membanting tulang saban hari memotong getah. Mereka sehingga hari ini masih lagi belum menemukan punca rezeki. Malah pisau toreh getah juga hanyut dibawa air bah.
Bukan itu sahaja, kebanyakannya masih lagi menetap di khemah-khemah. Dan kini apabila musim tengkujuh kembali, masing-masing dirundung bimbang; ke mana akan mereka bawa harta benda yang tersisa sejak bencana tersebut berlaku satu tahun lalu.
Dalam keadaan rakyat terbanyak berhadapan situasi ekonomi yang menjerut leher mereka, sekelompok kecil yang beruntung mempunyai pertalian dan kenalan politik boleh sahaja bersenang-senang dengan pendapatan puluhan ribu setiap bulan, tanpa perlu letih membanting tulang.
Ada kawan-kawan yang pernah menceritakan kepada saya tentang sifat amanah yang dimiliki Nabi Muhammad SAW, sehingga diberi gelaran Al-Amin, dikeranakan integriti yang ada padanya.
Baginda berpesan supaya mengembalikan harta kepada yang berhak, dan jangan memakan harta anak yatim.
Saya juga diberitahu bahawa apabila matinya seorang orang Islam, segala-galanya ditinggalkan kecuali tiga perkara. Salah satunya ialah amal jariah.
Maka, jika institusi amal jariah umat Islam seperti YaPEIM secara sesuka hati meluluskan elaun puluhan ribu ringgit yang bersumber amal jariah umat Islam kepada si pemegang amanah; saya tidak tahu bagaimana rantaian sedekah dan amal jariah yang ditinggalkan akan memberi manfaat di alam sana.
Saya justeru rasa bertanggungjawab untuk menasihati mereka yang sedang bersenang lenang dengan wang hasil amal jariah umat Islam ini untuk segera bertaubat dan menyucikan harta mereka yang didapati dengan cara yang penuh keraguan.
* Lim Lip Eng ialah Ahli Parlimen Segambut