RENUNG-RENUNGKAN LAH WAHAI SAHABAT


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Surah A-Maidah ayat 8)


Selasa, 19 Januari 2016

AWAS TANTAWI! PUTAR BELIT LAGI, BERTEMU LAGI DI MAHKAMAH

Kenyataan Akhbar oleh Raja Syarafina Raja Shuib, Pegawai Khas Undang-undang kepada YAB Lim Guan Eng pada 19.1.2016, KOMTAR

YAB Ketua Menteri Pulau Pinang telah menarik balik tuntutan saman fitnah beliau terhadap Ketua Penerangan PAS merangkap Ahli Parlimen Temerloh, YB Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi (“Defendan”) (Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Guaman Sivil No. 23NCVC-15-10/2014) berhubung dengan suatu artikel bertajuk ‘Apa Beza Kidex dan Terowong Pulau Pinang’ yang ditulis dan dimuatnaik oleh Defendan ke laman Facebook-nya pada 6.8.2014 (“Artikel tersebut”).

Penyelesaian damai antara pihak-pihak menerusi suatu Perintah Persetujuan (Consent Judgment) bertarikh 18.1.2016 di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Tuan Lim Chong Fong ekoran daripada permohonan penyelesaian dari Defendan dan persetujuan Defendan untuk:- 

(a) Defendan menzahirkan kekesalan beliau di hadapan Hakim dan hadirin yang hadir dalam Mahkamah mengenai kandungan Artikel tersebut yang telah mengakibatkan salah faham terhadap YAB KM.

Kenyataan yang diutarakan oleh Defendan dan seperti yang direkodkan oleh pihak Mahkamah yang Mulia serta disahkan kembali oleh Defendan berbunyi seperti berikut -

“Menghadiri perbicaraan hari ini dan setelah meneliti dokumen yang dikemukakan ke Mahkamah, saya kesal artikel saya mencetuskan salah faham terhadap YAB Ketua Menteri Pulau Pinang. Pihak pihak bersedia untuk tidak memanjangkan kes ini dengan menarik balik artikel saya yang bertarikh 6 Ogos 2014 yang lalu yang didapati tidak mempunyai asas ke atas Ketua Menteri; dan

(b) Defendan membayar RM10,000 kepada YAB KM sebagai kos.

Memandangkan saya sendiri telah menyaksikan rentetan peristiwa yang membawa kepada penyelesaian damai tersebut di Mahkamah Tinggi semalam, pastinya ramai yang terkilan termasuk saya dengan tindakan YB Ustaz Nasrudin menulis suatu rencana susulan bertajuk ‘Catatan dari Mahkamah Tinggi Georgetown – Kes diselesaikan di luar mahkamah’ yang boleh diakses melalui laman web http://www.pas.org.my/arkib/ketua -penerangan/7338-catatan-dari-mahkamah-tinggi-georgetown-kes-diselesaikan-di-luar-mahkamah.

Samada rencana tersebut ditulis dalam kealpaan atau kecuaian yang disengajakan, YB Ustaz Nasrudin tidak seharusnya memutar-belitkan fakta dan/atau memperlekehkan kebenaran dalam usaha beliau untuk menegakkan benang yang basah. Harus ditekankan disini bahawa:–

(a) walaupun prosiding guaman terhadap YB Ustaz Nasrudin dijadualkan untuk berlangsung semalam dan hari ini, YAB KM masih menerima jalan penyelesaian damai yang dicadangkan oleh pihak Mahkamah. Dalam pada ini, YB Ustaz Nasrudin hanya perlu, antara lain, meminta maaf akibat tohmahan dan fitnah yang telah dilemparkan terhadap YAB KM dalam Artikel tersebut;

(b) meskipun YB Ustaz Nasrudin tahu dan/atau patut tahu dari dokumen-dokumen yang difailkan untuk tujuan perbicaraan bahawa Artikel tersebut sememangnya merupakan fitnah beliau terhadap YAB KM, YB Ustaz Nasrudin enggan memohon maaf daripada YAB KM. Malah, YB Ustaz Nasrudin juga sebenarnya enggan untuk menyuarakan kekesalan beliau terhadap salah-faham yang telah dicetuskan akibat daripada Artikel tersebut; dan

(c) andainya YAB KM mementingkan kepentingan dirinya semata-mata dan enggan menerima kenyataan ‘kekesalan’ daripada YB Ustaz Nasrudin, tidak mungkin penyelesaian damai boleh berlaku sama sekali.

Sekiranya YB Ustaz Nasrudin yakin bahawa Artikel tersebut bukan merupakan fitnah terhadap YAB KM, mengapa pula terdapatnya persetujuan beliau untuk menyuarakan kekesalan dan membayar kos kepada YAB KM? Fikirkanlah siapa sebenarnya yang berdusta.

Susulan daripada penjelasan di atas dan sekiranya masih ada putar-belit dalam mana-mana laporan media berhubung dengan penyelesaian damai tersebut, pihak YAB KM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.

RAJA SYARAFINA RAJA SHUIB

Pegawai Khas Undang-undang kepada YAB Ketua Menteri Pulau Pinang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan