RENUNG-RENUNGKAN LAH WAHAI SAHABAT


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Surah A-Maidah ayat 8)


Memaparkan catatan dengan label pelik tapi benar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pelik tapi benar. Papar semua catatan

Khamis, 12 November 2015

SATU TULISAN MENARIK DARI LIM LIP ENG BERKAITAN YAPEIM

SAYA tertarik dengan pendedahan terbaru National Oversight and Whistleblowers hari ini tentang pemusatan kekayaan sebuah badan amal jariah kepada beberapa individu dan kaum kerabat mereka.
Ini amat memeranjatkan. Saya tidak pernah menyangka sebuah yayasan yang berfungsi membantu umat Islam memajukan ekonomi mereka boleh dicemari skandal yang begitu jijik dan memualkan.
Pada saat rakyat seluruh negara sedang diperah keringat dan wang ringgit mereka dengan pengenaan cukai dan kenaikan kos sara diri, saya amat terkejut dengan pendedahan yang dibuat berkenaan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).
Antara yang paling memualkan ialah pendedahan mengenai seorang pemimpin wanita Umno, yang menerima elaun untuk dua jawatan yang pada saya seolah-olah tidak ada banyak beza.
Jawatan pertama ialah Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, dan yang satu lagi berbunyi Timbalan Presiden Lembaga Pemegang Amanah. Kedudukan ini memberi pulangan elaun bulanan dan keraian bernilai RM15,000 setiap satu, secara bulanan.
Pening juga kepala memikirkannya. Bagaimanakah seseorang diperuntuk elaun keraian setiap bulan pada jumlah RM15,000? Apakah yang diraikannya setiap bulan sampai sebanyak itu? Malah, jumlah pulangan beliau setiap bulan mencecah RM45,000.
Lebih menarik lagi, anak dan suami pemimpin wanita Umno itu turut menerima pulangan bulanan daripada YaPEIM; menjadikan pendapatan setiap bulan keluarga tersebut mencecah RM81,700.
Si anak memegang jawatan pengarah di enam anak syarikat yayasan terbabit, dengan hasil mudah RM31,200 satu bulan.
Itu baru timbalan.
Presiden Lembaga Pemegang Amanahnya pula mempunyai sepuluh jawatan di pelbagai panel, jawatankuasa dan anak syarikat yayasan tersebut. Beliau membawa pulang pendapatan bulanan sebanyak RM73,000.
Hairan, kerana pada kedua-dua surat yang mengesahkan bayaran itu diluluskan ada tertulis: ‘Institusi Amal Jariah Anda’. Mungkin slogan ini boleh ditukar menjadi ‘Institusi Amal Jariah Kami dan Anak-beranak Kami’.
Tidak masuk akal sebuah yayasan berasaskan ‘amal jariah’ khusus buat pembangunan ekonomi umat Islam memberi keuntungan atas angin kepada ‘pemegang amanah’nya dengan jumlah yang begitu besar, hanya dengan kedudukan dan jawatan sebagai pemegang amanah.
Padahal kita semua sedia maklum, masih lagi ramai orang Melayu beragama Islam yang jenuh mencari rezeki mengais sesuap nasi untuk mandiri hari demi hari.
khemah kelantanSaya terkenang nasib mangsa banjir di Kelantan, yang membanting tulang saban hari memotong getah. Mereka sehingga hari ini masih lagi belum menemukan punca rezeki. Malah pisau toreh getah juga hanyut dibawa air bah.
Bukan itu sahaja, kebanyakannya masih lagi menetap di khemah-khemah. Dan kini apabila musim tengkujuh kembali, masing-masing dirundung  bimbang; ke mana akan mereka bawa harta benda yang tersisa sejak bencana tersebut berlaku satu tahun lalu.
Dalam keadaan rakyat terbanyak berhadapan situasi ekonomi yang menjerut leher mereka, sekelompok kecil yang beruntung mempunyai pertalian dan kenalan politik boleh sahaja bersenang-senang dengan pendapatan puluhan ribu setiap bulan, tanpa perlu letih membanting tulang.
Ada kawan-kawan yang pernah menceritakan kepada saya tentang sifat amanah yang dimiliki Nabi Muhammad SAW, sehingga diberi gelaran Al-Amin, dikeranakan integriti yang ada padanya.
Baginda berpesan supaya mengembalikan harta kepada yang berhak, dan jangan memakan harta anak yatim.
Saya juga diberitahu bahawa apabila matinya seorang orang Islam, segala-galanya ditinggalkan kecuali tiga perkara. Salah satunya ialah amal jariah.
Maka, jika institusi amal jariah umat Islam seperti YaPEIM secara sesuka hati meluluskan elaun puluhan ribu ringgit yang bersumber amal jariah umat Islam kepada si pemegang amanah; saya tidak tahu bagaimana rantaian sedekah dan amal jariah yang ditinggalkan akan memberi manfaat di alam sana.
Saya justeru rasa bertanggungjawab untuk menasihati mereka yang sedang bersenang lenang dengan wang hasil amal jariah umat Islam ini untuk segera bertaubat dan menyucikan harta mereka yang didapati dengan cara yang penuh keraguan.

* Lim Lip Eng ialah Ahli Parlimen Segambut

PENGERUSI DAN TIMBALAN PEGANG 26 JAWATAN DALAM EMPAYAR YAPEIM?

Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dilantik Perdana Menteri atas nasihat Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Pengarah Pusat Pemantauan dan pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW), Akmal Nasir berkata, ia berdasarkan surat yang dihantar Jamil kepada Pengerusi dan Presiden Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Abd Malek Awang Kechil. Surat itu memaklumkan persetujuan Perdana Menteri melantik Abd Malek ke jawatan itu bagi tempoh 1 Januari 2014 hingga 31 Disember 2016.

Jamil turut melampirkan suratnya kepada Perdana Menteri mengenai senarai penuh cadangannya bagi jawatan Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM termasuk timbalan pengerusinya, Datuk Hajah Siti Zaleha Hussin.

Semalam, Akmal mendedahkan Abd Malek bersama Siti Zaleha dan keluarganya memperolehi pendapatan RM2 juta setahun menerusi 26 jawatan yang disandang mereka dalam YaPEIM. Justeru, Akmal mempersoalkan sama ada Jamil selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyedari kemungkinan pecah amanah dan salahgunakuasa dalam yayasan itu.

 “Adakah Datuk Seri Jamil Khir Baharom sedia mengaku kemungkinan berlakunya pecah amanah, ketirisan dan salah guna kedudukan di agensi YaPEIM sedangkan beliau merupakan Menteri yang bertanggungjawab dan keseluruhan Lembaga Pemegang Amanah dilantik atas nasihat beliau?

 “Adakah beliau berani mendesak Datuk Seri Najib Razak memecat kedua-kedua individu tersebut dan ahli keluarga mereka daripada semua jawatan di YaPEIM termasuk kedudukan mereka dalam Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM untuk menghentikan ketirisan yang berlaku di agensi berkenaan?

 “Atau adakah beliau turut menerima manfaat daripada YaPEIM sedangkan sepatutnya sumbangan derma orang ramai kepada YaPEIM melalui potongan gaji bulanan diuruskan untuk tujuan amal jariah dan membantu orang yang dalam kesusahan?,” soalnya dalam kenyataan media.

Akmal dalam sidang media semalam mendakwa Abd Malek meraih pendapatan sehingga RM73,000 sebulan dengan memegang 11 jawatan. Manakala timbalannya, Siti Zaleha pula meraih RM45,000 sebulan dan mendapat 7 elaun dari jawatan yang disandangnya. Jawatan-jawatan itu disandang menerusi 6 institusi milik penuh YaPEIM beserta 2 anak syarikat dan 6 institusi di bawah kawalannya beserta 3 anak syarikat.

Akmal juga mendedahkan keluarga Zaleha mendapat manfaat paling besar apabila suami dan anaknya turut mendapat gaji dan elaun dari 26 jawatan yang disandang mereka lapor Keadilan Daily

Ahad, 18 Oktober 2015

ADAKAH ANDA TIDAK BERASA MALU DENGAN DIRI SENDIRI? - HUSAM MUSA

Asalnya masalah guru-guru YIK tidak dlalam senarai saya untuk dibangkitkan. Selepas serombongan guru YIK datang mengadu hal kepada saya, saya terpaksa mengubah fikiran.

Saya terkejut melihat jumlah tunggakan potongan pelbagai jenis pinjaman guru-guru sudah meningkat kepada RM 14.6 juta hingga September 2015! Gaji guru dipotong oleh YIK untuk caruman guru-guru berkenaan tetapi YIK tidak menjelaskan caruman itu kepada agensi berkenaan.

Ia menjadi tertunggak. Bayaran caruman kepada Koperasi Maik umpamanya, telah terhenti sejak Jun 2014! Sehingga September 2015, jumlah tunggakan caruman guru-guru kepada Koperasi Maik sahaja sudah berjumlah RM 5,188,381! Ia menimbulkan banyak kerumitan kepada guru-guru pencarum dan koperasi juga. Tidak perlu untuk saya menyenaraikan semuanya di sini. (Saya bersangka baik MB dan TMB sudah pun membaca masalah dan kerumitan yang ditanggung oleh guru dan koperasi hasil berlakunya tunggakan)

Tunggakan juga berlaku kepada Biro Angkasa, Bank Islam, Tabung Haji, KWSP - semua sekali 21 jenis potongan caruman yang tertunggak. Senarainya terlalu panjang. Ia nampak serius. Ia menyusahkan guru-guru terbabit dalam banyak segi. Ia menggambarkan kedudukan kewangan negeri yang tenat. Jika benar kewangan kerajaan negeri tenat, apa patut dibuat oleh pimpinannya? Terus boros? Membazir? Bersuka hilai ke luar negara? Menjual aset negeri di bawah nilai pasaran?

Seminggu dua yang lalu, mudir YIK di bawa melawat Indonesia. Saya tidak berhasrat mengkritik para mudir atas lawatan ini kerana mereka mengeluarkan wang sendiri bagi menampung perbelanjaan. Saya tertanya apa perlunya Exco dari portfolio lain dan Speaker turut sama? Bukankah itu memakan belanja? Jika belanja itu dijimatkan, sedikit sebanyak ia boleh menampung caruman yang tertunggak itu.

KE (Ketua Eksekutif) sebuah agensi baru pulang dari lawatan ke Moscow, selepas seminggu dua sebelumnya melawat Afrika Selatan. Mudah-mudahan ada pelaburan dari Rusia dan untungnya boleh menampung tunggakan itu?

Cuba lihat negara mana lagi yang tidak dilawatinya? Di tengah tukaran wang menjunam, 14 orang anggota kerajaan baru-baru ini melawat Jepun. Kalau Tok Guru masih hidup, saya yakin seratus peratus lawatan itu tidak akan diluluskan. Mana lebih mustahak, antara lawatan ke Jepun atau menjelaskan tunggakan caruman?

Pemuda parti kerajaan baru-baru ini mengadakan himpunan 10k di Pasir Puteh. Katanya tiga exco masing-masing menyumbangkan RM 100 ribu. Maknanya RM 300 ribu paling tidak, wang kerajaan hangus. Jika RM 300 ribu itu didahulukan kepada YIK?

Saya tidak tahu berapa pula wang yang dibelanjakan untuk pelbagai himpunan yang lain sehari dua ini.

Adakah anda tidak terasa malu dan segan dengan diri sendiri?

Husam Musa
Adun Salor
4 Muharam 1437/17 Oktober 2015

Sabtu, 27 Jun 2015

TSKI TAWAR DIRI JADI MB, APAKAH PERUNDINGAN GELAP SEDANG BERJALAN?

Tak semena-mena, disebalik Haji Hadi menyeru semua ADUN PAS menyokong Azmin Ali sebagai MB Selangor, mantan MB TSKI menawarkan diri menjadi MB semula!

Tiada angin masakan pohon bergoyang, kecuali ada beruk dan monyet menggoyangkan pokok tersebut.

Apakah disebalik seruan Presiden PAS tersebut, membawa makna yang sebaliknya? Umum mengetahui bagaimana Haji Hadi bermati-matian mempertahankan TSKI sewaktu krisis MB Selangor tercetus sedikit masa lalu. Begitu juga dengan Majlis Syura Ulamak turut memberi restu kepada TSKI untuk terus menjadi MB.

Maka adalah tidak mustahil suatu pusingan U-Turn mungkin berlaku! Sama-samalah kita tunggu episod seterusnya berlangsung.

ALAHAI RUPANYA TSKI MASIH TERLIUR LAGI NAK JADI MB

SAYA terpanggil untuk memberikan respon balas kepada mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dilaporkan bersedia untuk menjadi Menteri Besar Selangor semula sekiranya menerima kepercayaan Dewan Negeri Selangor dengan majoriti mudah.

Tidak berbangkit sebarang isu berkenaan kehilangan sokongan majoriti ke atas YAB Mohamed Azmin Ali pada ketika ini kerana majoriti Ahli Dewan Negeri daripada KEADILAN, DAP dan PAS telah memberi sokongan kepada beliau. Ini diperkukuhkan lagi dengan kenyataan Presiden PAS yang menyokong Kerajaan Negeri Selangor di bawah kepimpinan KEADILAN melalui YAB Mohamed Azmin. Muafakat yang terhasil ini diterjemah kepada kepercayaan terhadap YAB Mohamed Azmin untuk terus memimpin kerajaan Negeri Selangor berpandukan semangat Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang semakin mengambang sepertimana diungkapkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum KEADILAN.

Amat hairan bagaimana Tan Sri Khalid boleh menyangka beliau dapat memegang semula jawatan MB kerana beliau telah dipecat dari KEADILAN dan sekarang hanya merupakan seorang ADUN bebas. Saya ingin mengingatkan Tan Sri Khalid bahawa beliau telah dipilih sebagai ADUN atas kerusi KEADILAN dan oleh itu beliau tidak harus beranggapan rakyat Selangor telah memilih beliau atas namanya semata-mata.

Jelas, Tan Sri Khalid hanya boleh menjadi MB semula sekiranya beliau diberi sokongan penuh oleh UMNO. Jika itu berlaku, ini merupakan suatu khianat yang amat besar terhadap rakyat Selangor kerana mereka telah menolak parti dan kepimpinan UMNO di dalam Pilihanraya Umum ke-13.

Tan Sri Khalid perlu bermuhasabah diri sebelum menawarkan diri sebagai remedi kepada permasalahan ini. Ini kerana gaya kepimpinan beliau sewaktu menjadi Menteri Besar yang sering tidak seiring dengan keputusan-keputusan penting kepimpinan Pakatan melibatkan rakyat dan dilihat hanya bergantung kepada penasihat beliau semata-mata menyebabkan beliau hilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Negeri Selangor lantaran dipecat KEADILAN.

Adalah lebih utama untuk Tan Sri Khalid memfokuskan kepada persoalan bagaimana hutang Bank Islam beliau berjumlah RM70 juta diselesaikan secara tiba-tiba dan juga bagaimana penyelesaian dapat diambil khususnya melibatkan pampasan sejumlah RM2.6 juta buat bekas pegawai beliau yang masih berlarutan sehingga kini.

YB Shamsul Iskandar Mohd Akin
Naib Presiden KEADILAN

26 Jun 2015



Jumaat, 1 Mac 2013

"HUGUAN SIOU" TUNDUK KEPADA PARTI YANG MENJATUHKAN KERAJAAN PIMPINANNYA?

Sebagaimana yang didedahkan sepanjang RCI berkaitan pemberian kerakyatan dikatakan berlaku di Sabah pada tahun 90an, kerajaan persekutuan pimpinan UMNO adalah merupakan dalang operasi tersebut.

Terbaru, salah seorang bekas tahanan ISA mendedahkan secara terperinci bagaimana operasi tersebut dijalankan dan siapakan yang memberikan arahan seperti DI SINI

Sekiranya apa yang dinyatakan adalah benar, maka kita tertanya-tanya kenapa pemimpin Kadazandusun masa kini yang mendapat gelaran "Huguan Siou" atau "Paramount Leader" iaitu Tan Sri Datuk Seri Panglima Jeseph Pairin Kitingan sanggup tunduk kepada UMNO-BN dengan membawa partinya bergabung dengan BN.

Kalau betullah apa yang didedahkan itu bahawa tujuan operasi tersebut adalah untuk menumbangkan parti PBS daripada menjadi kerajaan Negeri Sabah, tentulah amat memalukan seorang "Huguan Siou" boleh tunduk pula kepada UMNO-BN!

Wahai orang-orang Kadazandusun buka lah mata anda!

Khamis, 21 Februari 2013

MASIH ADA YANG BERAHI UNTUK MENJADIKAN TENGKU RAZALEIGH SEBAGAI PM PAKATAN?


Al-kisah maka berpuputlah sang bayu membawa berita, yang kadang kala kencang dan terkadangnya pula berpuput lembut sepoi-sepoi bahasa, akan kononnya terdapat sekelompok firqah kecil di dalam salah sebuah komponen PR (bukan PKR atau DAP) begitu berahi untuk menobatkan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai PM baru sekiranya PR Berjaya menumbangkan UBN. Bagi mereka Anwar Ibrahim kurang layak menduduki kerusi panas tersebut!

Sang bayu juga mengkhabarkan bahawa maudhu’ ini bukanlah sekadar berita angin atau cakap-cakap kosong di Papan Utama Bursa Politik Malaysia, kerana puak-puak dalam firqah ini telahpun mengirin delegasi bagi memujuk Ku Li untuk menerima jawatan tersebut. Malahan yang lebih menyolok mata, mereka tergamak mengirim seorang ulamak kanan bagi menyampaikan hasrat hati sanubari mereka kepada DSAI, sehingga menyebabkan DSAI berkecil hati dengan sang ulamak ini yang pernah beliau sanjungi!

Kadang-kala kita merasa amat hairan, pelik, keliru dan entah apa lagi perkataan yang sesuai  digunakan, bila memikirkan akan tingkah laku firqah ini. Bagaimana cara berfikir merekapun begitu amat mengelirukan.

Bagaimana mungkin mereka masih terliur dan berahi dengan Ku Li, seorang pemimpin yang masih setia bergelumang di dalam UMNO dan BN? Malahan Ku Li pernah belot dan meninggalkan pengikutnya di dalam Semangat 46, dan rakan gabungannya di dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan Gagasan Rakyat, untuk kembali mendakap UMNO. Ku Li juga tidak menyumbang apa-apa dalam perjuangan rakyat terkini. Kalau hanya sekali sekala mengusik-usik nakal menghentam UMNO-BN di dalam tulisan dan ucapannya, bukan bermakna beliau menyokong PR.

Malahan, sebagaimana penulis nyatakan sebelum ini, Ku Li adalah lebih teruk dari pemimpim-pemimpin UMNO-BN yang lain kerana beliau menghentam UMNO tetapi masih setia dan selesa duduk di dalamnya. Beliau tahu dan sedar UMNO-BN itu “busuk” tetapi beliau masih menjunjung tinggi parti cap keris tersebut. Ibarat orang yang tahu “tong taik” itu kotor, najis dan busuk tetapi masih setia berenang dan berguling di dalamnya!

Kepada puak-puak ini kita ingin bertanya, apakah sumbangan Ku Li terhadap perjuangan rakyat masakini? Apakah sumbangan Ku Li terhadap perjuangan Pakatan Rakyat? Apakah sumbangan Ku Li terhadapat penyatuan rakyat dari perbagai bangsa dan suku kaum itu yang kini begitu selesa dan gembira di bawah panji-panji PR? Apakah sumbangan Ku Li terhadap kebangkitan rakyat masakini?

Ah……mereka tidak dapat berfikir lagi….fikiran mereka telah berjerubu….sehingga tergamak menggores hati DSAI……Sedangkan DSAI lah pemimpin yang berjaya menyatukan parti-parti penentang UBN dari berbagai ideologi, DSAI lah pemimpin yang berjaya menyemarakkan api perjuangan rakyat dari berbagai lapisan masyarakat, kaum dan agama, DSAI lah yang saban hari menjelajah ke seluruh pelusuk Negara termasuk Sabah dan Sarawak demi mengangkat martabat rakyat!

Ahhhhhhh….kalaulah khabar ini benar……….!!!!!!!

Khamis, 31 Januari 2013

JAMIL KHIR TERPINGGIR DEK KERANA USTAZ NASHA?

GAMBAR MENGUKIR SERIBU MAKNA!
Apabila mantan Timbalan Presiden PAS yang terbuang, Nasharuddin Mat Isa sekali lagi mengekori DS Najib Razak dalam lawatan antarabangsanya, maka timbullah desas-desus dan gembar-gembur yang kononnya Nasha akan dipilih menggantikan Jamil Khir Baharum sebagai menteri yang jaga agama, iaitu dengan cara BN akan membuka laluan untuk Nasha bertanding kerusi parlimen.

Mungkin itu hanya sekadar gosip-gosip nakal di kedai kopi sebagai bahan penghibur di kala negara sedang menuju PRU 13.

Namun apa yang jelas dari gambar yang dirakamkan ketika lawatan PM ke Gaza, Nasha telah diberikan kedudukan yang tinggi dari segi protokol lawatan rasmi seorang PM. Lihat sajalah, Nasha betul-betul bersebelahan PM, sehinggakan Menteri Luarpun terkuis ketepi, apatah lagi Jamil Khir dengan muka mencukanya nun jauh di hujung sana.

Kalaulah nak dikatakan Nasha sebagai penterjemah bahasa Arab untuk PM maka perlu beliau berdiri bersebelahan, apakah Jamil Khir kurang fasih berbahasa Arab untuk berdiri di sebelah PM? 

Apapun...... LU PIKIR LA SENDIRI!



Isnin, 11 Jun 2012

KES BUKIT KEPONG: PENGADU MENGAKU FITNAH DAN MINTA MAAF KEPADA MAT SABU


"He is now my brother, saya mahu Mat Sabu dibebaskan."

Perbicaraan kes Haji Mohamad Sabu yang didakwa kerana dikatakan memfitnah polis Bukit Kepong di bawah seksyen 500 Kanun Keseksaaan menyaksikan kegemparan apabila pengadu kes tersebut beberapa kali meminta maaf kepada beliau dan meminta Mahkamah membebaskannya dari pertuduhan.

Saksi pendakwa tersebut Visvanathan a/l Muthu iaitu seorang pesara polis yang memberi keterangan beliau hari ini berulang-ulang kali meminta maaf kepada Mat Sabu sambil mengangkat tangannya kepada Mat Sabu dan meminta mahkamah membebaskan beliau.

Beliau berkata demikian apabila di soal balas secara panjang lebar oleh peguambela Mat Sabu, Mohamed Hanipa Maidin di Mahkamah Sesyen hari ini.

Semasa pemeriksaan balas tersebut beliau mengakui bahawa laporan polis yang beliau pada 27 Ogos 2011 adalah semata-mata berdasarkan laporan Utusan Malaysia pada tarikh yang sama.

Berikut adalah antara lain petikan soal balas Hanipa dengan saksi tersebut.

Soalan peguambela (S): Kamu setuju kamu sendiri tak dengar ceramah Mat Sabu?
Jawapan saksi(J): Ya, setuju.

S: Kamu setuju apabila kamu tak dengar apa yang Mat Sabu kata, kamu sebenarnya tak tahu apa yang Mat Sabu kata?
J: Ya. Setuju.

S: Cuba kamu lihat laporan laporan akhbar Utusan dan petikan ucapan Mat Sabu, setuju tak apa yang ditulis oleh Utusan adalah tidak sama dengan apa yang Mat Sabu kata?
J : Ya, setuju.

S : Mat sabu tak ada kata perkataan komunis langsung dalam ucapan beliau tapi Utusan ada kata, betul tak?
A : Betul.

S: Kamu setuju atau tidak apa yang kamu tulis dalam laporan polis kamu yang katakan Mat Sabu menfitnah polis dan menyokong komunis adalah tidak betul?
J : Ya, setuju.

S : Jadi laporan polis kamu tidak betul dan saya katakan bukan Mat Sabu yang memfitnah polis tetapi kamu yang sebenarnya memfitnah Mat Sabu dalam laporan polis kamu?
J : Ya, saya setuju. Saya mahu minta apology (maaf) kepada beliau (sambil tunjukkan tangan minta maaf pada Mat Sabu yang ada di kandang orang kena tuduh).

S : Dalam laporan polis kamu ada sebut minta polis ambil tindakan undang-undang Mat Sabu, kamu masih mahu 'stick' kepada apa yang kamu katakan?
J : Tidak, saya mahu minta maaf pada Mat Sabu dan 'he is now my brother'. Saya mahu Mat Sabu dibebaskan.

S: Kamu kata Mat Sabu derhaka pada Yang Dipertuan Agong, saya ingin tanya pada kamu macam mana kamu boleh kata dia derhaka kepada Agong, sedangkan pada masa peristiwa Bukit Kepong Malaysia belum wujud dan Yang Di Pertuan Agong pun belum ada. Macam mana Mat Sabu boleh derhaka pada benda yang belum ada?
J :Saya tidak boleh jawab soalan itu.

S: Jadi kamu setuju kamu tidak cakap benda betul dalam laporan polis kamu?
A: Setuju.

Saski juga mengakui dia tidak tahu di mana Bukit Kepong dan apabila terus ditanya oleh Hanipa beliau menyatakan Bukit Kepong terletak di Selangor dan Hanipa lantas menyampuk "Itu Kepong bukan Bukit Kepong!"

Saksi tersebut yang mengidap diabetik beberapa kali terpaksa berhenti memberi keterangan kerana dikhuatiri akan pengsan kerana berdiri terlalu lama.

Apabila disoal semula oleh pihak pendakwa saksi sekali lagi meminta maaf pada Mat Sabu dan berkata beliau menyesal (kerana buat laporan polis ke atas Mat Sabu).

Selepas selesai memberikan keterangan saksi tersebut dilihat berjalan menuju ke kandang Mat Sabu dan terus bersalam dengan  beliau dan meminta maaf sekali lagi.

Kes kemudiannya ditangguhkan ke 13,16 dan 17 Julai depan kerana Hanipa memaklumkan mahkamah bahawa Mat Sabu sedang menunggu tarikh rayuannya di Mahkamah Rayuan bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang enggan membatalkan pertuduhan ke atas beliau.

Mat Sabu diwakili oleh Mohamed Mohamed Hanipa Maidin, Amin Zulkifli dan Nasar Khan manakalan Encik Husaini mewakili pihak pendakwa.

Galeri Mahkamah yang dipenuhi pemerhati turut menyaksikan kehadiran Ustaz Salleh Man, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang dan Ahli Majlis dari DAP iaitu saudara Francis.

dipetik dari: Harakahdaily

Selasa, 17 April 2012

KALAU GAMBAR VIRGIN MARY BERHIJAB BAGAIMANA KAMU MINTA SAYA TANDATANGAN HARAMKAN HIJAB - MENTERI ITALI


Bukan semua orang Kristian, terutamanya dari Eropah dan Amerika yang amat prejudis kepada Islam. Masih ramai yang berfikiran rasional dan bertoleransi dalam kehidupan beragama di sana. Contoh terbaru, salah seorang menteri kerajaaan Itali, pusat berkembangnya ajaran Roman Katholik, Roberto Maroni. Beliau mempersoalkan, "kalau Virgin Mary muncul dengan memakai hijab dalam kesemua gambar-gambarnya, bagaimana kamu meminta  saya memandatangani undang-undang mengharamkan hijab?"

Rabu, 8 Februari 2012

JAWAPAN PALING HANCUS DARI PRESIDEN MTUC

Ketika ditanya The Malaysian Insider mengenai penggunaan RM1.5 bilion wang KWSP bagi membiayai projek pemberian pinjaman perumahan bagi yang tidak berkemampuan, Presiden MTUC Mohd Khalid Atan berkata MTUC tidak mengetahui berkenaan dengan skim tersebut, oleh itu pihaknya "tidak mengingati" isu yang dibincangkan dalam mesyuarat bersama-sama dengan wakil kesatuan yang lain.

"Agak sukat untuk saya memberikan penjelasan. Saya kurang sihat sejak beberapa waktu tahun lepas, dan hanya baru-baru ini menyertai mesyuarat pada Jun atau Julai. Tapi sejak itu, saya tidak mengingati sama ada dimaklumkan berkenaan perancangan itu ketika mesyuarat."

"Ia tidak begitu jelas buat kami.... saya hanya mengetahuinya apabila ia dilaporkan akhbar .... " jelas Khalid sebagaimana yang dilaporkan oleh The Malaysian Insider

Adoi mak !!!! Apa punya turrr jawapan dari seorang presiden sebuah kesatuan sekerja yang amat berpengaruh di negara ini. Jawapannya amat mudah, "saya tidak ingat, saya kurang sihat". Apakah mesyuarat KWSP tidak ada minit mesyuaratnya? Kalau memang tidak dibincangkan kenapa tak mahu cakap terus terang? Janganlah berbelit-belit!.

Ingat semua ahli-ahli MTUC, lain kali nah pilih pemimpin tu fikir-fikirlah!

Sabtu, 4 Februari 2012

FITNAH ANAK GUAN ENG: LAPORAN HAMPIR SEBULAN DAH, TINDAKAN TAK NAMPAK LAGI?


Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP Mohd Nasir Salleh telah menasihatkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guang Eng agar membuat laporan terhadap Umno-online, blogger Papagomo dan Pisau.net kerana didakwa telah memfitnah anaknya dengan dakwaan dia mencabul rakan sekelasnya.

Menurut Lim lagi, Naser telah memaklumkan kepadanya bahawa arahan meminta Lim membuat laporan tersebut "datang dari atas".

"Beliau membuat temujanji untuk berjumpa dengan saya pada 12 Januari di pejabat saya. Jadi mengikuti nasihat beliau saya telah membuat laporan itu pada hari yang sama," kata Lim kepada pemberita di Komtar.

Dakwaan tersebut, termasuk dakwaan bahawa anak Lim dipaksa berpindah ke sekolah lain, dan dakwaan bahawa ketua menteri itu telah membayar RM200,000 kepada pihak tertentu bagi menutup kes tersebut, di mana Lim telah menafikan sekeras-kerasnya.

Dakwaan yang dibuat pada bulan Oktober tahun lepas, telah terbukti tidak benar apabila "mangsa' dakwaan tersebut - bekas pemain catur kelahiran Hong Kong, Anya Corke - tampil menafikan tuduhan itu.Anya didakwa menjadi mangsa dakwaan itu apabila gambarnya telah digunakan dalam lamanweb-lamanweb berkenaan yang menuduh anak Lim dengan dakwaan salah laku seksual.

Menurut Lim, sehingga semalam, polis masih menyiasat perkara itu dan belum ada tangkapan dibuat setakat ini.

Beliau melahirkan harapannya supaya polis akan melakukan seperlunya dan menangkap mereka yang terbabit melakukan fitnah jenayah itu.

rujukan: pemuda pas wangsa maju

Khamis, 19 Januari 2012

HASAN ALI KEKAL TIM. PENGERUSI MAIS, MASALAH DIJANGKA BERLARUTAN!

Bekas EXCO Agama yang dipecatkan, Dr. Hasan Ali dikekalkan sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, walaupun beliau telah digugurkan oleh Sultan Selangor Sebagai EXCO. Menurut pengerusi MAIS, Datuk Setia Mohd Adzib Isa, perkara tersebut telah diputuskan dalam mesyuarat yang diadakan pada 17 Januari lalu. Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Hasan Ali.

Dengan perkembangan terbaru ini, jelaslah bahawa sesungguhnya Kerajaan Negeri Selangor yang dipilih oleh majoriti rakyat tidak ada langsung kuasa dan pengaruh ke atas MAIS, dan MAIS juga secara tidak langsung tidak menghormati pendirian kerajaan negeri.

Persoalannya, adakah mesyuarat yang memutuskan nasib Hasan Ali yang turut dihadirinya berjalan mengikut peraturan? Apakah tidak ada unsur-unsur "conflict of interest" kerana batang tubuh orang yang menjadi subjek mesyuarat turut hadir?

Apapun, maka tepatlah sekali pendirian Tan Sri Khalid mengambil-alih jawatan EXCO Agama kerana telahpun nampak riak-riak pertembungan antara MAIS dan Kerajaan Negeri yang sudah pasti tidak termampu Dr. Ahmad Yunus Hairi menanggungnya.

Rabu, 18 Januari 2012

SAHABAT-SAHABAT BARU HASAN ALI


Ni la rupa dan wajah sahabat-sahabat baru Hasan Ali ..... malas lah nak ulas panjang-panjang.....

Selasa, 17 Januari 2012

PAKAR BOM TELAH DIKENAL PASTI!

Baru-baru ini seluruh negara heboh dengan berita-berita yang berkaitan dengan bom.  Cerita lama bagaimana Altantuyah dibom sudah lama tenggelam, dan sudah tidak menjadi berita sensasi lagi.  Baru-baru ini ketika pengumuman pembebasan Anwar Ibrahim dari tuduhan Liwat 2, perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah digegarkan dengan tiga ledakan bom yang mengakibatkan beberapa orang cedera ringan. Pihak polis dengan segera melancarkan penyiasatan terperinci bagi mengenal pasti siapa datang yang terlibat. Namun Utusan Meloya lebih pakar daripada pihak polis apabila terus menghalakan tuduhan kepada penyokong DSAI.

Kemudian beberapa hari lalu sekali lagi kita dikejutkan dengan penangkapan seorang pelajar USM kerana dikatakan mengugut untuk mengebom helikopter yang dinaiki PM ketika berkunjung ke universiti tersebut......

Namun yang paling mengejutkan sekali apabila Kadir Sheikh Fadzir memecahkan rahsia dan tembelang UMNO yang menggunakan TEKTIK BOM dalam beberapa siri pilihanraya yang lalu. Beliau yang mengakui turut terlibat dalam OPERASI BOM tersebut mendedahkannya dalam satu forum seperti yang dilaporkan oleh The Malaysian Insider seperti di bawah:

Bekas menteri dakwa BN beli undi dengan wang tunai

January 17, 2012
PETALING JAYA, 17 Jan — Bekas menteri persekutuan daripada Umno hari ini mendakwa wang yang digunakan pada kempen pilihan raya lalu adalah untuk membeli undi, satu taktik yang dikenali sebagai “bom”.
Tan Sri Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir (gambar) berkata demikian dalam satu forum dengan menjelaskan mengalami pengalaman itu sendiri dengan memberi RM200 hingga RM1,000 dalam kempen pilihan raya Barisan Nasional (BN) untuk mendapat undi.
“Saya telah menjadi ketua dalam banyak kempen dan saya diberikan wang dalam jumlah yang banyak untuk diagihkan,” kata bekas menteri penerangan dan pelancongan di Persidangan Perancangan Strategik Malaysia 2012 di sini.
“Ia secara terang-terangan untuk membeli undi.”
Abdul Kadir berkata istilah yang digunakan untuk strategi itu adalah “bom”.
Beliau menambah secara peribadi tidak pernah menggunakan wang itu.
James Chin, Ketua Sekolah Seni dan Sains Sosial, Monash University, Bandar Sunway, berkata strategi itu merupakan paling berkesan di Sabah dan Sarawak.
Semasa ucapannya, Abdul Kadir berkata semasa beliau masih memegang jawatan dalam Umno, beliau mahu mengingatkan mereka tentang “Amanah Merdeka” — yang bermaksud memberi rakyat hak untuk mempunyai pilihan raya bersih dan adil.
Beliau turut menggesa Umno agar tidak perlu takut untuk kalah sekiranya ikhlas dalam perjuangan.
“Jika anda kalah, terimanya; rakyat ubah kerajaan banyak kali di USA dan Australia,” katanya.
“Saya adalah ahli Umno, saya tiada masalah jika kalah. Jika anda berada di sana untuk menggunakan jutaan ringgit untuk diri sendiri dan kroni anda atau jika saya mempunyai bilion ringgit dan saya akan ditangkap selepas saya kehilangan kuasa, maka saya akan gunakan semua tipu helah ini.
“Jika anda ikhlas, tiada apa yang perlu ditakutkan,” tambahnya.
Beliau berkata untuk mempunyai pilihan raya bersih dan adil, perlu ada akses sama rata terhadap media, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan jabatan kerajaan mesti neutral.
“Anda perlu berikan mereka (pembangkang) kebebasan untuk mempunyai TV, radio dan akhbar,” katanya. “Selama 50 tahun PAS telah meminta lesen akhbar tetapi tidak diberikan — kerajaan pembuli besar.”
Beliau menambah semasa pilihan raya, BN tidak sepatutnya menggunakan  Kementerian Penerangan, Felda, Felcra dan Unit Cawangan Khas (SB) serta agensi lain untuk membantu kempen mereka.
Abdul Kadir juga Timbalan Presiden Angkatan Amanah Merdeka dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Sazean.

Isnin, 9 Januari 2012

DSAI DIBEBASKAN, APAKAH SKRIP DRAMA RAMPASAN PERAK AKAN BERULANG?





Anwar dibebaskan? Berita yang baru aku terima amat memeranjatkan aku. Benarkah? Sahihkah? Hampir meniti air mataku, Tapi jauh dalam lubuk hatiku....aku terkenang akan drama Rampasan Perak! Mahkamah Tinggi mengisytiharkan Nizar MB Perak..... tetapi dalam sekelip mata sahaja segalanya telah berubah......

Awas!!!!! PERJUANGAN KITA BELUM SELESAI!

Ahad, 25 Disember 2011

HASIL KECEKAPAN JPN, 12 TAHUN ANAK DR JUANDA BERSTATUS BUKAN WARGA NEGARA!


Kenapa perlu ‘salinan’ surat nikah untuk memohon MyKad anak? — Dr Juanda Jaya
25 DIS — 1. Saya amat berterimakasih kepada semua pihak terutama media yang mengutip dan melaporkan status berita pada dinding laman Facebook peribadi saya Jumaat 23 Disember 2011 berkaitan isu permohonan Mykad anak gadis saya. Saya terpaksa beralih kepada Facebook setelah saluran rasmi lain yang saya gunakan gagal membantu saya pada masa itu. Zaman informasi terkini menjanjikan tiada masalah boleh disimpan di bawah karpet lagi dan manusia boleh saling berkongsi masalah dan membantu memberikan jalan penyelesaian sesama mereka.

Isu utama sebenar yang belum terjawab hingga hari ini ialah; Kenapa pihak JPN perlukan salinan (salinan??? bukan original) surat nikah bagi mengesahkan kewarganegaraan seseorang individu rakyat Malaysia sewaktu memohon Mykad anaknya? Begitu juga dipinta lagi sewaktu memohon untuk membuat Passport Antarabangsa? Apakah tidak cukup dengan Surat Beranak asal pemohon dan MyKad asal Bapa pemohon bagi mengesahkan KEASLIAN KEWARGANEGARAAN pemohon, seperti yang dinyatakan di papan kenyataan JPN sendiri. Bukankah kalaulah pasangan itu telah bercerai, status anak itu dalam Surat Beranak tetap kekal seperti adanya, kecuali dia memohon sebaliknya? Atau rakyat Malaysia tidak diberitahu bahawa kedudukan bapa/ibu warganegara tidak menjamin mereka berhak menjadi warganegara Malaysia sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan dan diwarwarkan oleh pihak KDN sendiri. SOP sebeginilah yang wajar disemak semula, sebagaimana kenyataan awal YBhg KSU KDN.

Padahal sewaktu memohon mendapatkan Surat Beranak yang turut dikeluarkan oleh Jabatan yang sama (bukan Jabatan dan Kementerian lain) salinan dan original surat nikah turut dikemukakan. JPN turut menuntut salinan berkenaan setiap kali pendaftaran anak yang baru, sesuatu yang pada saya wajar dilakukan bagi tujuan pengesahan status anak yang lain, walaupun ia tiada beza dengan sistem Mubarak di Mesir sewaktu saya di sana lebih 20 tahun lampau.

Isu lain yang tidak dijelaskan dengan teliti ialah; Kenapa status anak gadis saya selama 12 tahun ini dalam sistem JPN adalah X Warganegara? Bukankah Surat Beranak dia sudah menyatakan status dia adalah warganegara Malaysia? Bukankah Passport Antarabangsa dia juga berwarganegara Malaysia? Juga setiap kali passport dia dibuat, pihak Imigresen (dalam satu Kementerian KDN) akan merujuk kepada pihak JPN status kewarganegaraan dia sebelum passport dikeluarkan. Kalaulah benar status dia sudah dikemaskini pada 12 Jun 2009 (seperti kenyataan rasmi KDN semalam) maka mengapa pada 23 Disember 2011, status itu masih menunjukkan dia bukan warganegara. Saya sendiri melihat data status itu pada skrin komputer JPN seperti yang ditunjukkan kepada saya oleh staf JPN dan didengar sendiri oleh anak gadis saya yang turut bersedih di meja pegawai berkenaan. Staf perhubungan pelanggan, staf di kaunter dan pegawai JPN ini amat membantu saya dan komunikasi mereka amat baik sehingga saya mendapat sedikit maklumat yang saya kemukakan ini, bukan seperti ‘fitnah’ sesetengah pihak yang menyatakan bahawa mereka tidak terlatih dan tidak cekap.

Dua isu sebenar yang saya kemukakan ini belum terjawab walaupun pihak KDN menyatakan bahawa MyKad itu sudah siap dan boleh diambil. Saya ke JPN semalam yang dikatakan tetap beroperasi pada hari Sabtu, namun pihak Rela yang mengawal Bangunan menyatakan Federal Ofis tidak beroperasi pada Sabtu ini. Notis di pintu masuk juga menjelaskan hal demikian.

Saya bukan bertujuan untuk mensensasikan isu peribadi sebegini, walaupun saya turut diberi ‘ingatan’ oleh pihak JPN agar tidak mensensasikan isu sebegini. Ini urusan peribadi saya sebagai rakyat, bukan atas kapasiti lain. Saya amat terluka apabila dinyatakan oleh sistem data komputer JPN yang saya percayai dan yakini menyimpan data keselamatan negara yang sudah pasti akurat, tepat dan amat dipercayai, menyatakan dengan jelas anak saya selama 12 tahun ini, dalam rekod JPN Malaysia adalah bukan warganegara Malaysia, negara yang amat saya cintai!

Saya sudah lalui semua kepahitan dan kesulitan birokrasi dan redtapes sebegini dengan pihak Agensi Persekutuan di Sarawak. Saya yakin semua rakyat marhaen di Sarawak turut merasai ‘denyut nadi kesulitan’ yang sama. Tanyalah kepada mereka yang ikut BARISAN di kaunter-kaunter berkenaan. Apakah mereka bergembira?

Kita berada pada zaman online, bukan zaman manual. Zaman paperless, bukan zaman suka suruh rakyat buat salinan fotostat. Zaman data setempat, bukannya zaman ‘menitahkan’ rakyat ‘menghadap’ pelbagai agensi untuk mengesahkan status mereka dan memaksa rakyat mengisi pelbagai ‘songeh borang’ yang perlu diupah pelbagai khidmat di keliling Bangunan Persekutuan Sarawak yang akan meningkatkan kos rakyat marhaen (terutama yang buta huruf) di Sarawak bila berurusan dengan Agensi Kerajaan Persekutuan.

Isu ini saya ketengahkan sebagai rakyat marhaen di Sarawak adalah dalam rangka membantu memperkukuhkan slogan YAB Perdana Menteri “RAKYAT DIDAHULUKAN” demi Malaysia yang akan terus makmur dan Sarawak Maju Dalam Malaysia.

Akhirnya saya ingin berterimakasih kepada YB Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang dikhabarkan segera turun tangan membantu saya, begitu juga respons serta merta beberapa rakan media, politikus, birokrat dan teknokrat yang lain. Terimakasih juga kepada YBhg KSU KDN yang turut segera memberikan respons positif dan jaminan isu ini diselesaikan serta merta -menurut kenyataan beliau melalui media-. Namun agak malang, beliau turut mendedahkan beberapa fakta privasi diri dan keluarga saya kepada media. Saya tidak pasti apakah beberapa bahagian privasi hidup seseorang individu yang berada dalam simpanan KDN boleh didedahkan kepada media dalam menangani isu sebegini. Sekian. Kuching, 25 Disember 2011.

* Dr Juanda bin Jaya is the Mufti of Perlis

Selasa, 20 Disember 2011

DUIT KWSP DIJOLI?


Oleh DATO’ HUSAM MUSA

SAYA tertarik dengan penjelasan mengenai pinjaman KWSP kepada Kerajaan Malaysia seperti kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Dr Awang Adek di Dewan Rakyat (The Star, m s 20 30 November 2011).
RM79.4 bilion – adalah jumlah pinjaman KWSP kepada Kerajaan Persekutuan seperti disebut oleh Dr Awang. Adakah angka ini tidak mengambil kira pembelian kertas sekuriti dan bon Kerajaan Persekutuan oleh KWSP yang lain?
Setakat pengetahuan saya, kedua-dua pinjaman dan kertas sekuriti jika dijumlahkan sekali, jumlah besar pendedahan KWSP sebagai hutang Kerajaan adalah RM240 bilion! Jumlah itu tidak mengambil kira pinjaman KWSP kepada GLC milik kerajaan.
Berdasarkan jumlah RM240 bilion, ia adalah 52.6 peratus dari jumlah hutang Kerajaan Persekutuan sebanyak RM456 bilion pada tahun 2011, seperti dibentangkan Ketua Audit Negara dalam Mesyuarat Majlis Kewangan Negara baru-baru ini.
Dalam keadaan Hutang Kerajaan Persekutuan terus meningkat dan sepatutnya, tanpa manipulasi statistik, telah melebihi paras 55 peratus yang diizinkan oleh Undang-Undang Negara, kese- lamatan pinjaman ini memerlukan penelitian yang serius.
RM456 bilion jumlah hutang pada tahun 2011, dari segi peratus KDNK, adalah 54.3 peratus.
Hanya tinggal 0.7 peratus untuk mencapai tahap 55 peratus! Melalui Belanjawan defisit tahun ke-15 berturut-turut dengan jumlah RM45 bilion, sepatutnya tahap 55 peratus tadi telah dilanggar.
Bagi mengelakkan pelanggaran itu, manipulasi statistik telah dibuat dalam dua cara:
a. Meletakkan kadar pertumbuhan setinggi 6 peratus supaya dengan itu jumlah agregat KDNK menjadi besar dan dengan sendirinya peratus hutang berbanding KDNK menjadi rendah.
Soalnya, semua penganalisis ragu Malaysia mampu mencapai pertumbuhan 6 peratus sepanjang tahun hadapan.
Jika ini tidak dicapai, dengan sendirinya tahap yang dihadkan pertama kali akan dilanggari dan ini memberi kesan terhadap keselamatan hutang KWSP.
b. Meninggikan jumlah KDNK 2012 dengan memasukkan kadar inflasi. Oleh kerana itu, ada perbezaan ketara antara jumlah KDNK yang dicatatkan dalam Buku Belanjawan berbanding tercatat dalam Laporan Statistik.
Jumlah RM918.322 KDNK bolehlah dianggap memasukkan peratusan tertentu kadar inflasi, menjadikan angkanya lebih besar dan peratusan hutang menjadi kecil Namun begitu, sekalipun disebabkan oleh dua manipulasi statistik ini peratusan hutang negara belum mencecah tahap 55 peratus, ia akan mencecah tahap 55 peratus ini pada bila-bila masa dari sekarang.
Tidak ada tanda-tanda ekonomi negara akan tumbuh sebanyak 6 peratus pada tahun hadapan. Sebarang kekurangan dalam peratus pertumbuhan ekonomi negara dengan sendirinya menjadikan angka KDNK lebih kecil dan peratusan hutang lebih besar.
Selain itu, dengan trend berbelanja yang langsung tidak memperdulikan kedudukan kewangan semasa yang ada, dijangka jumlah hutang baru negara akan melebihi dari jumlah awal yang dinyatakan dalam Buku Belanjawan.
Jika ini berlaku, rakyat Malaysia, selepas PRU13 yang mungkin akan diadakan pada Mac 2012 akan menyaksikan jumlah hutang negara kita melebihi paras yang dibenarkan oleh undang-undang buat kali pertama di bawah teraju Dato’ Seri Najib Razak!
Itu belum mengambil kira jumlah hutang GLC yang tidak digambarkan dalam Akaun Hutang Awam Negara yang jumlahnya adalah juga besar iaitu RM184 bilion.
Sebagian pinjaman ini telah dikelaskan sebagai CC minus.
Jika jumlah ini diambil kira, kita telah lama melepasi tahap 55 peratus dan dengan itu, keadaan adalah amat membimbangkan.
Tujuan saya menulis kenyataan akhbar ini ialah supaya Kementerian Kewangan mengubah habit berbelanja Kerajaan Persekutuan sekarang.
Termasuk berbelanja besar melebihi kos sebenar, dari sekecil-kecil bil api tinggi menggila untuk kediaman PM sampailah pembelian kapal peronda dan lain-lain, seperti dalam kes-kes dilaporkan oleh Ketua Audit Negara.
Kedua, terus berbelanja atas perkara-perkara yang tidak produktif seperti pembelian vesel dan kereta perisai baru dengan begitu mahal melebihi harga pasaran dan dibeli melalui pihak ketiga yang mendapat untung melangit.
Semua perbelanjaan joli ini bersandarkan pinjaman KWSP yang merupakan wang amanah rakyat negara ini.
Perbelanjaan pruden boleh membantu hutang dikurangkan dan dengan sendirinya nilai wang KWSP yang dipinjamkan kepada kerajaan menjadi lebih berharga.
Jika tidak, KWSP hanya dijadikan tabung berharga murah untuk membantu Kerajaan Pusat berjoli atas wang rakyat!

Ahad, 16 Oktober 2011

RASMI LAMPU JALAN LAWAK JENAKA TERBARU BN PERAK

http://a5.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-ash4/306374_151488558281016_100002596173017_235098_2141102674_n.jpg



Bila tengok je gambar ni..... aku terus terkedu! dok terfikir setinggi mana tahap pemikiran dan otak pemimpin-pemimpin BN.  Ataukah mereka pikir otak rakyat Chemor sama bengap dengan otak mereka!

Rasa-rasanya di Papua New Guinea, Zimbabwe, Togo atau setaraf dengannya pun dah tak rasmikan projek lampu jalan. Kalau 50 tahun dulu mungkin la.

Apa yang boleh aku katakan.......... hahahahahahahaahahaahahahaah...... gelak sampai terkentut!
Boleh jalan la nak rasmi projek lampu jalan!

Selasa, 27 September 2011

ADAKAH MISMAH ATAU SUAMINYA SEORANG PROFESIONAL ATAU PELABUR?


Pemuda PAS mohon agar Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Alias Ahmad menjawab isu Mismah yang mendapat status penduduk tetap kepada rakyat Malaysia.
Pengerusi Pemulihan Demokrasi & Mobilisasi Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat juga memohon agar Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Datin Jariah Mohd Said memberi jawapan kepada rakyat Malaysia bagaimana Mismah yang mendapat status PR daripada Jabatan Imigresen tidak sampai satu tahun boleh diterima sebagai warganegara Malaysia pada 31 Januari 2011.

“Bukankah Mismah sudah melanggar peraturan Jabatan Imigresen? Apakah beliau layak untuk menjadi warganegara?” soalnya dalam satu kenyataan.

Beliau merujuk laporan Utusan Malaysia pada 23 September 2011, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Alias Ahmad telah membuat ulasan mengenai tuduhan rakyat Bagladesh mendapat status Penduduk Tetap atau Permanent Residen (PR) di negara kita.

Kenyataan beliau adalah seperti berikut:

''Peraturan Imigresen sedia ada tidak membenarkan pekerja asing yang memegang pas lawatan kerja sementara untuk memohon PR di negara ini.”
“Di bawah Akta Imigresen 1963, hanya suami atau isteri warga asing yang berkahwin dengan rakyat Malaysia berserta anak-anak berusia di bawah enam tahun dan menetap selama lima tahun berturut-turut di Malaysia layak memohon PR”.

“Permohonan turut dibuka untuk kumpulan pelabur, pakar serta golongan profesional yang diperakukan oleh agensi kawal selia.”

Justeru, Pemuda PAS berpendapat bahawa kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen adalah merujuk peraturan di jabatan tersebut seperti yang terdapat dalam laman berikut : http://www.pinoy-abroad.net/img_upload/9bed2e6b0cc5701e4cef28a6ce64be3d/Guide_to_Permanent_Residency__Malaysia_.pdf
Dalam peraturan yang terdapat dalam Jabatan Imigresen memberi syarat bahawa mereka yang memohon PR hendaklah memiliki entry permit dan telah tinggal di negara ini selama 5 tahun.

Kumpulan yang berkelayakan untuk mendapat entry permit adalah seperti kumpulan profesional, anak kumpulan profesional di bawah enam tahun, isteri kumpulan profesional, mempunyai kebenaran daripada Menteri Dalam Negeri atas kepentingan ekonomi negara, anak bagi warganegara yang berumur bawah enam tahun dan kes-kes khas.
Kata Suhaizan, Pemuda PAS ingin merujuk kes Mismah yang disiarkan pada 12 dan 14 Ogos 2011 oleh akhbar Sinar Harian.

Mismah atau nama sebenarnya adalah Nismah Binti Naim, 47, berasal daripada kepulauan Bawean, Indonesia.

Suami beliau bernama Mawasi Bin Mawardi, 51, juga mendapat status Penduduk Tetap.

Mismah masuk negara kita pada tahun 1982 sebagai buruh binaan. Pada tahun yang sama iaitu 17 Julai 1982 Mismah sudah mendapat satus PR.

Menurut Suhaizan, ini memberi maksud bahawa tidak sampai satu tahun Mismah tinggal di negara ini beliau sudah memperolehi status PR.

“Kes Mismah ini bertentangan dengan kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Alias Ahmad yang menyatakan bahawa hanya suami atau isteri warga asing yang berkahwin dengan rakyat Malaysia berserta anak-anak berusia di bawah enam tahun dan menetap selama lima tahun berturut-turut di Malaysia layak memohon PR,” katanya.
Pemuda PAS, tambahnya berpendapat bahawa terdapat kemungkinan 4 perkara yang bertentangan dengan peraturan Jabatan Imigresen dalam kes Mismah mendapatkan status PR iaitu Mismah bukan seorang profesional, suami Mismah bukan seorang warganegara, suami Mismah bukan seorang profesional dan Mismah hanya tinggal tidak sampai satu tahun di negara ini.

“Mismah ini hanyalah satu kes contoh sahaja. Pemuda PAS sangat khuatir berkenaan pemberian status PR kepada ribuan warga asing dalam negara ini,” ujarnya yang juga Ketua Pemuda PAS Johor.

Beliau berkata, pemberian hak kerakyatan kepada mereka yang tidak layak dan bertujuan untuk kepentingan parti politik tertentu adalah suatu pengkhianatan kepada negara.

Tegasnya, Pemuda PAS akan terus mendedahkan kepada rakyat Malaysia berkenaan manipulasi dalam pilihan raya khususnya yang berkait dengan daftar pemilih dan undi pos.