RENUNG-RENUNGKAN LAH WAHAI SAHABAT


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Surah A-Maidah ayat 8)


Memaparkan catatan dengan label putar-belit sejarah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label putar-belit sejarah. Papar semua catatan

Selasa, 20 Mac 2012

DATUK FATMI, LAIN KALI SEMAK FAKTA DAN CERMIN DIRI DULU!

Saya membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh oleh Ketua Bahagian UMNO Kota Bharu, Dato Mohd Fatmi Che Salleh seperti yang tersiar di dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini Selasa 20 Mac 2012 (muka 10) berkenaan dengan isu Tanah Rizab Melayu yang didakwa tergadai di Kelantan. 

Dalam kenyataan tersebut beliau menyatakan bahawa Kerajaan PAS Kelantan tidak mempunyai perancangan yang teliti di dalam membangunkan negeri sehingga menyebabkan tanah rizab Melayu tergadai.

Sukacita saya memaklumkan bahawa kenyataan Fatmi tersebut yang tidak disertakan dengan fakta sangatlah tidak tepat dengan hakikat yang sebenar.

Saya amat hairan bagaimana seorang Setiausaha Politik yang paling kanan kepada Perdana Menteri Malaysia boleh mengeluarkan kenyataan tanpa menyebut sandaran fakta yang kukuh.

Suka saya memaklumkan bahawa sekiranya Fatmi merujuk kepada Laporan Khas Utusan Malaysia pada 19 Mac 2012 yang meletakkan isu Tanah Rizab Melayu yang tergadai di Kelantan di muka hadapannya, terdapat beberapa kekeliruan yang sengaja ditimbulkan di dalam laporan tersebut. 

Ini termasuklah dakwaan bahawa beberapa projek pembangunan seperti Lembah Sireh, bandar Baru Tunjong, Muzium Pasir Pekan, Pelabuhan Darat Kuala Krai, Pusat Membeli Belah KB Mall, Tune Hotel serta Ladang Rakyat kononnya melibatkan tanah rizab Melayu yang digadaikan.

Saya melihat bahawa kekeliruan ini sengaja ditimbulkan oleh UMNO melalui Utusan Malaysia dalam misi untuk menghakis kepercayaan orang-orang Melayu terhadap kerajaan negeri Kelantan. 

Kebanyakan projek yang disebut itu ialah tanah kerajaan yang yang diberi milik kepada agensi-agensi termasuk Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Perbadanan Menteri Besar Kelantan, Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat, Perbadanan Bandar Baru Tunjung, Yayasan Islam Kelantan dan Yayasan Kelantan Darulnaim (Yakin). 

Ia kemudiannya dimajukan dengan kerjasama syarikat swasta secara pajakan dalam tempoh tertentu misalnya 66 tahun. 

Ia sama sekali tidak diberi milik kekal kepada pemaju terlibat dan dilaksanakan berdasarkan pegangan ekuiti kebiasaannya 30 peratus agensi kerajaan dan 70 peratus pemaju.

Barangkali UMNO lupa bahawa merekalah yang telah menggadaikan tanah rizab melayu di bandar Baru Kubang Kerian ketika memerintah Kelantan. 

Ini boleh dirujuk melalui Warta Kerajaan Kelantan 22 April 1990 (ketika Kelantan masih diperintah oleh Barisan Nasional). Ini hanya sekelumit dari pengkhianatan UMNO terhadap tanah rezab Melayu.

Fakta ini belum lagi mengambil kira pengkhianatan Umno kepada orang Melayu yang telah berjaya menghilangkan tanah rezab Melayu dari 3juta hektar pada tahun 1957 kepada 1.7 juta hektar (1995). 
Bermakna 44% tanah rezab Melayu yang ditinggal oleh penjajah dengan susut kadar 1.2% setahun. Jika diperincikan, terlalu banyak kes di mana pemimpin UMNO memperalatkan Pindaan Kanun Tanah Negara pada tahun 1992 yang memberi peluang kepada kerajaan-kerajaan negeri mengambil tanah-tanah rezab Melayu dengan alasan untuk pembangunan.

Di Kedah ketika di bawah pemerintahan UMNO, mereka merampas tanah sawah 2,000 ekar di Kerpan dan diserahkan kepada Syarikat Benladin Group untuk projek udang harimau. 

Projek itu gagal dan petani-petani di Kerpan sekarang hilang hak mereka ke atas tanah-tanah sawah tersebut. Di dalam persidangan DUN Kedah pada bulan Ogos 1996,  Menteri Besar Kedah ketika itu, Tan Sri Sanusi Junid telah memberikan jawapan bertulis terhadap pertanyaan ADUN Sala, Ustaz Azizan Abdul Razak (sekarang Datuk Seri) menyatakan bahawa 20,677.89 hektar tanah rezab Melayu telah dijual dan pada tarikh itu kerajaan Kedah belum lagi mengganti tanah yang dijual itu. 

Di Johor, Umno merampas 26,000 ekar tanah dari Tanjung Langsat hingga ke Tanjung Piai, Pontian untuk membina Bandar Baru Piai. Kampung rakyat itu diserahkan kepada Syarikat Kok Brothers dan UEM. 
Lebih teruk lagi, tanah-tanah rezab Melayu dan tanah-tanah projek Wilayah Pembangunan Iskandar juga telah dijual kepada Cina Singapura. 

Di Melaka, Umno mengambil tanah rakyat di Kampung Pantai Kundur dan tanah Merah untuk pembinaan Butter Zone oleh Petronas. 

Di Terengganu, Umno menjual tanah orang ramai di Pulau Redang kepada Syarikat Berjaya Group seluas kira-kira 300 ekar dengan harga RM500.00 seekar. Ia dijual pula dengan harga RM70,000.00 seekar. 

Ini belum lagi mengambil kira tanah Keretapi Tanah Melayu yang dijual di Singapura dan rundingan Pulau Batu Putih yang memperlihatkan kecerdikan kerajaan UMNO/Barisan Nasional.

Justeru, di atas tajuk Tanah Rizab Melayu : Siapa Pengkhianat? saya mempelawa Ketua Bahagian UMNO Kota Bharu, Dato Mohd Fatmi Che Salleh untuk bersama-sama saya di atas pentas debat pada bila-bila masa sahaja. Saya kira beliau akan mempunyai peluang untuk mendedahkan apa yang didakwanya sebagai pengkhianatan kerajaan PAS Kelantan terhadap Tanah Rizab Melayu. 

Di atas pentas yang sama, pelbagai lagi fakta dan data boleh didedahkan di hadapan khalayak yang akan membuat penilaian yang bebas. Format debat dan aspek teknikal boleh dibincangkan kemudian setelah Fatmi bersetuju dengan pelawaan saya.



Salam hormat.
AHMAD FADHLI BIN SHAARI,
Setiausaha Akhbar,
YAB Menteri Besar Kelantan

YANG NYATA UMNOLAH YANG GADAI TANAH REZAB! 
BUKTINYA LIHAT DI BAWAH NI:

 

Selasa, 13 September 2011

KALAUPUN BETUL INGGERIS TAK JAJAH KITA, TAPI JEPUN PERNAH JAJAH KITA!

Lt. Jeneral Yamashita
Mutakhir ini wujud pula polemik baru dimana para cerdik pandai telah melontarkan berbagai argumen yang menyanggah akan kenyataan sejarah yang didendangkan selama ini, bahawa Malaysia (Malaya) tidak pernah dijajah! Ada pihak yang bersetuju dan ada pula pihak yang menyanggah kenyataan ini.

Bagi yang menafikan akan kenyataan sejarah bahawa Malaysia/Malaya pernah dijajah, argumennya mudah sahaja. Inggeris tidak pernah menjajah Malaya, tetapi memberi naungan atau perlindungan. Baiklah! kita terima kenyataan tersebut, memang Malaysia atau Malaya tidak pernah dijajah oleh Inggeris (kecuali negeri-negeri Selat iaitu Singapura, Melaka dan Pulau Pinang). Memang betullah Inggeris tidak pernah menjajah Malaysia atau Malaya kerana ketika Inggeris datang ke tanah atau negeri orang-orang Melayu memang Malaysia ataupun Malaya belum wujud lagi macam mana nak jajah! (macam kes liwat DSAI siri 1 la pulak, kondo belum wujud tapi kejadian liwat boleh berlaku).

Tetapi harus diingat!  Sejarah Malaysia atau Malaya atau Persekutuan Tanah Melayu atau apa saja nama atau gelaran yang diberikan untuk negeri-negeri orang Melayu ini tentulah tidak boleh dibicarakan secara terpisah-terpisah dengan rentetan sejarah yang berlaku walau di bahagian mana bumi Malaysia sekalipun. Kerana hakikatnya pembentukan negara Malaysia adalah merangkumi negeri-negeri dan wilayah orang Melayu ini yang mempunyai rentetan sejarahnya masing-masing.

Apakah kita boleh memisahkan akan hakikat dan sejarah bahawa bumi Melaka pernah dijajah oleh Portugis? Bagaimana pula dengan hakikatnya bahawa kerajaan Johor-Riau telah ditawan dan dijajah oleh Belanda? Bukankah Melaka juga pernah dijajah oleh Belanda selepas Portugis? Kenyataan sejarah juga mencatatkan bahawa pada 15 Ogos 1795 angkatan Inggeris telah tiba di Melaka dan mengambil-alih kuasa dari tangan Gabenor Belanda Abrahamus Couperus.

Oh itu bukan menjajah Tanah Melayu atau Malaya kerana yang dijajah adalah sebahagian bumi atau negeri orang Melayu. Baik, kita terima juga argumen kurang cerdik seperti ini.

Namun bukti paling besar bahawa keseluruhan Tanah Melayu (Malaysia pada masa ini) pernah dijajah adalah akan hakikat Jepun pernah menduduki Tanah Melayu atau Malaya mulai tahun 1941 hingga 1945, setelah mengalahkan pihak Inggeris. Kalau ini bukan penjajahan lalu apakah namanya?