Akhirnya Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Ustaz Nik Zawawi membuat penjelasan berkaitan dengan sekeping gambar yang berlegar ligat di persada maya, yang merakamkan beliau berserta dengan dua orang pemimpin UMNO dan MCA dan beberapa orang lagi menunjukkan isyarat jari telunjuk yang bersamaan dengan simbol popular yang diperkenalkan oleh PM Najib "1Malaysia".
Menurut penjelasan tersebut, mereka sebenarnya menunjukkan simbol "One Nation Political Parties" yang menjadi trademark persidangan yang mereka hadiri di Phnom Penh, Cambodia.
Kita berlapang dada dan menyambut baik akan penjelasan yang mereka berikan itu, namun diharap kejadian ini seharusnya menjadi iktibar kepada mereka dan juga kepada mana-mana pemimpin Pakatan Rakyat, terutamanya pemimpin di peringkat tinggi supaya sentiasa berhati-hati dalam setiap tindakan. Musuh sentiasa menggunakan segala peluang dan helah untuk mengkucar-kacirkan PR.
Kita harus ingat, dengan menguasai rangkaian media arus perdana, gambar-gambar sebegitu amat mudah mereka eksploit, menyebabkan orang awam yang di atas pagar mudah terpedaya dan keliru. Kita jangan bercakap soal penyokong tegar PAS, PKR atau DAP. Mereka dengan mudah akan menerima penjelasan yang dibuat, tetapi bagi golongan atas pagar sudah tentu tergoyah pendirian mereka.
Rasanya semasa persidangan tersebut berlangsung iaitu di sekitar tahun 2010, PM Najib sudahpun mempopularkan simbol telunjuk sebagai "1Malaysia" dan menjadi sinonim dengan UMNO-BN. Nik Zawawi atau mana-manapun pemimpin PR rasanya juga sudah tahu akan hakikat ini. Salahkah rakyat bawahan penyokong PR merasa agak marah dengan tingkah laku pemimpin yang dengan gembira menunjukkan simbol yang sama di samping dua orang pemimpin BN yang begitu dikenali?
Contoh mudah, katalah seorang pemimpin Islam memegang tanda + (tanda campur) bergambar di sebelah seorang paderi yang juga memegang simbol yang sama iaitu sempena "Persidangan Campur Tolak Sedunia" yang diadakan di Zimbabwe, sudah pasti akan timbul anggapan dan fitnah bahawa pemimpin Islam tersebut memegang tanda salib!
Makanya, untuk terjun ke kancah politik, bukan sekadar cekap dalam ilmu agama, tetapi hendaklah cekap juga mempelajari akan sepak terajang dunia politik!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan