RENUNG-RENUNGKAN LAH WAHAI SAHABAT


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Surah A-Maidah ayat 8)


Rabu, 28 Oktober 2015

KES PEMBALAKAN KELANTAN - MOHD AFIQ SERAHKAN 50 HELAIAN BUKTI KEPADA SPRM

Kenyataan media.
27 Oktober 2015
Saya Mohd Afiq Bin Ayob, mewakili pengundi muda luar Kelantan hari ini telah memfailkan aduan rasmi berkaitan rasuah bernilai lebih RM5 juta bersangkutan kegiatan pembalakan di negeri Kelantan.
Diyakini SPRM bukan sahaja tidak punya alasan untuk memulakan siasatan tetapi dengan dokumen lebih 50 helaian bukti yang saya serahkan mampu untuk menyelesaikan hampir setengah kes ini.
Dokumen yang saya serahkan terkandung atau menyatakan dengan jelas wujudnya transaksi melibatkan
· pembayaran wang kepada seorang Exco Kerajaan Negeri
· ‘sumbangan’ kenderaan Toyota fortuner termasuk Salinan perjanjian jualbelinya
· Pembayaran perbelanjaan ke luar negara seorang exco negeri Kelantan
· ‘sumbangan’ RM 32,000 berbentuk lembu korban ke kawasan seorang exco kerajaan negeri
· ‘sumbangan’ ‘tile’ untuk lantai bagi ubah suai bernilai RM34,544.80 termasuk invoice penghantaran yang mana billnya dibayar oleh sebuah syarikat yang terlibat pembalakan
· Pembayaran melalui peguam bernilai RM1 juta. Dokumen berbentuk resit dan Salinan cek disertakan.
· Dokumen pembayaran tunai atas nama anak syarikat kerajaan negeri kepada seorang yang berpangkat Datuk yang menggunakan alamat Istana Negara bernilai RM150,000 yang tercatat baki bernilai RM4,850,000 (RM4.85 juta)
· Salinan cek pembayaran kepada seorang yang berpangkat Datuk bernilai RM1juta.
Semua transaksi tersebut dibuat oleh seorang Datuk berbangsa Cina bertindak bagi sebuah syarikat berkaitan perkayuan (balak) yang beralamat di Kuala Lumpur.
Dokumen bukti yang diserahkan kepada SPRM jelas menyebut beberapa kali nama seorang Exco Kerajaan Negeri Kelantan. Lebih pelik lagi kegiatan Exco Kerajaan negeri Kelantan yang dimaksudkan turut melibatkan seorang Datuk yang menggunakan alamat Istana Negara dan dari carian laman sosialnya ia dikenali cukup rapat dengan pimpinan kerajaan pusat.
Selaku anak muda Kelantan saya cukup gusar dengan perkembangan mutakahir ini. Selama ini saya dan kawan – kawan begitu bangga dengan pemerintahan bersih kerajaan Kelantan di bawah almarhum Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat. Tindakan saya ialah untuk membersihkan Kerajaan Kelantan dari anasir rasuah yang mengotori dan terus mempertahankan Kelantan dibawah pemerintahan bukan Barisan Nasional.
Kami memberi masa 30 hari kepada SPRM untuk menyesaikan, jika tidak saya dan teman – teman tidak punya banyak pilihan selain dari mendedahkan semua dokumen dan bukti terbabit kepada rakyat. Kami bersedia mencetak semua bukti tersebut untuk edaran kepada rakyat khususnya seluruh negeri Kelantan. Pelaku yang mengotori Kerajaan Kelantan harus disingkirkan segera.
Dalam pada masa itu kami sedia untuk bertemu YAB Datuk Menteri Besar bagi menjelaskan dan menyerahkan semua dokumen bukti terbabit dengan syarat, exco terbabit perlu digantung khidmat tugas serta merta sepanjang penyiasatan ini dan selepas terbukti bersalah Kerajaan Negeri sendiri harus bertindak ke atas Exco ini selain dari tindakan undang – undang oleh SPRM.
Sekian.
Mohd Afiq Bin Ayob

Ahad, 25 Oktober 2015

PEMIMPIN UMNO PENGECUT! - MUHYIDDIN

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, membidas sesetengah pemimpin Umno sebagai pengecut kerana tidak bersuara dalam isu krisis negara.

Ia mungkin kenyataan paling keras pernah dibuat beliau sejak digugurkan dari kabinet Datuk Seri Najib Razak Julai lalu.

Muhyiddin menyifatkan, ketika negara dalam keadaan kelam-kabut di waktu ini beliau sahaja yang berani bersuara untuk memperbetulkan keadaan.

"Hanya saya seorang bersuara, yang lain buat apa?

"Saudara semua pengecut, takut kena pecat sebagai ketua cawangan, ketua bahagian dan ada juga wakil rakyat.

"Semua orang amat takut untuk bersuara walaupun keadaan negara dalam situasi begini tetapi tak mahu buat apa-apa. Orang luar tanya saya apa sudah jadi," katanya seperti dilaporkan SInar Harian.

Beliau berkata demikian pada program Bicara Minda; Berani Kerana Benar anjuran Sinar Harian, hari ini.

Hanya berkata benar

Muhyiddin turut mengeluh terhadap wujudnya rasa ketakutan untuk mereka untuk bersuara.

"Saya bersuara bukan mahu menjatuhkan parti. Saya hanya berkata benar kerana bimbang tentang masa depan negara," katanya.

Menurut Timbalan Presiden Umno itu, Malaysia berada dalam keadaan tidak stabilan dari aspek politik susulan skandal yang melanda Najib.

Sementara itu, Najib menghadapi cabaran supaya melepaskan jawatannya selepas dilanda isu RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun peribadi beliau dan mendakwa wang tersebut adalah dana politik dari Timur Tengah.

Sementara itu, Muhyiddin menggesa para pemimpin Umno tampil lebih berani dengan mencontohi Nabi Muhammad yang tidak berdiam diri sekiranya berlaku sesuatu kemudaratan.

"Ketika dalam kerajaan, saya gunakan kuasa untuk nasihat dan beri pandangan tapi langsung tak diambil kira. Macam bodoh sangat timbalan perdana menteri ni.

"Saya bersuara bukan untuk jatuhkan parti. Saya hanya berkata benar kerana bimbang tentang masa depan negara," katanya lagi.

DARI MALAYSIAKINI

Ahad, 18 Oktober 2015

HEBATNYA AKHLAK SEORANG ULAMAK!

Maka bermadahlah akan seorang ulamak besar yang mengetuai satu-satunya parti yang mereka sangka yang memperjuangkan Islam, mereka yang keluar dari parti itu kerana menyertai parti lain ibarat kera yang mencari buah dari pokok lain....

Itu bahasa mantik kata penyokong beliau! Tapi kita hairan beginikan akhlak seorang ulamak hebat amat gemar menghamburkan kata-kata hinaan kepada orang lain?

Kalau dah sampai ke tahap menghina orang lain dengan gelaran yang menyamakan dengan binatang, maka kita fahamlah kenapa para pengikut beliau juga sewenang-wenangnya boleh menghina orang lain dengan pelbagai gelaran menghina ketika berkempen sempena pemilihan parti yang lalu.

Kita juga menjadi semakin faham kenapa bekas-bekas pemimpin yang disingkirkan setandan itu tidak dapat lagi menahan kepedihan untuk terus dihina jika masih berada dalam parti agama itu

Maka saki baki rasa hormat aku kepada beliau itu juga semakin terhakis......

DEKLARASI BOSPHORUS UNTUK SELAMATKAN MALAYSIA

Pemimpin Malaysia yang telah berkumpul di Bosphorus, Istanbul, Turkey, pada 17 Oktober 2015 mendesak seluruh rakyat Malaysia agar bersatu demi menyelamatkan negara dari ancaman perkauman, fahaman agama yang sempit, ekstremis dan ketidak toleransian.

Malaysia sedang berhadapan saat paling getir apabila beberapa isu kritikal menghambat negara dalam satu masa melibatkan aspek politik, ekonomi, sosial dan hubungan antara kaum.

Kami menggesa seluruh rakyat agar bersatu padu untuk menyelamatkan Malaysia demi memastikan kita tidak terjerumus ke kancah huru-hara yang memusnahkan harapan seterusnya dapat bangkit dari krisis melalui transisi demokratik kearah membina Malaysia sebagai sebuah negara contoh yang moderat dan bertoleransi untuk dicontohi dunia.

Seruan kami ini juga ditujukan kepada ahli parlimen UMNO dan Barisan Nasional yang turut sama menjadi elemen penting untuk melakukan perubahan secara demokratik semasa parlimen bersidang bermula Isnin 19 Oktober 2015 ini.

Maka, dalam konteks inilah kami mengalu-alukan pertemuan bersejarah yang telah mempertemukan bekas-bekas pemimpin veteran UMNO/Barisan Nasional termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Sanusi Junid, Datuk Seri Shafie Apdal, Tun Ling Liong Sik dan Tan Sri Ong Tee Keat.

Kami menggesa kesemua pemimpin veteran UMNO/Barisan Nasional ini agar selangkah kehadapan merealisasikan perubahan yang dapat memberi kesan terhadap sidang parlimen yang bakal berlangsung nanti.

Bosphorus adalah selat yang menghubungkan antara benua Eropah dan Asia. Maka para pimpinan politik berhimpun di sini dengan semangat harapan baharu untuk Malaysia dan negara akan bangkit menjadi obor harapan baru dipentas dunia.

Selaku bangsa Malaysia berdaulat. Marilah kita bersatu selamatkan Malaysia diatas semangat Rukunegara:-

Kepercayaan kepada Tuhan;
Kesetiaan kepada Raja dan Negara;
Keluhuran Perlembagaan;
Kedaulatan Undang-Undang;
Kesopanan dan Kesusilaan.

Nurul Izzah Anwar, Naib Presiden, Parti KeADILan Rakyat
Salahuddin Ayob, Timbalan Presiden, Parti Amanah Negara
Liew Chin Tong, Pengarah Pendidikan Politik, Parti Tindakan Demokratik

ADAKAH ANDA TIDAK BERASA MALU DENGAN DIRI SENDIRI? - HUSAM MUSA

Asalnya masalah guru-guru YIK tidak dlalam senarai saya untuk dibangkitkan. Selepas serombongan guru YIK datang mengadu hal kepada saya, saya terpaksa mengubah fikiran.

Saya terkejut melihat jumlah tunggakan potongan pelbagai jenis pinjaman guru-guru sudah meningkat kepada RM 14.6 juta hingga September 2015! Gaji guru dipotong oleh YIK untuk caruman guru-guru berkenaan tetapi YIK tidak menjelaskan caruman itu kepada agensi berkenaan.

Ia menjadi tertunggak. Bayaran caruman kepada Koperasi Maik umpamanya, telah terhenti sejak Jun 2014! Sehingga September 2015, jumlah tunggakan caruman guru-guru kepada Koperasi Maik sahaja sudah berjumlah RM 5,188,381! Ia menimbulkan banyak kerumitan kepada guru-guru pencarum dan koperasi juga. Tidak perlu untuk saya menyenaraikan semuanya di sini. (Saya bersangka baik MB dan TMB sudah pun membaca masalah dan kerumitan yang ditanggung oleh guru dan koperasi hasil berlakunya tunggakan)

Tunggakan juga berlaku kepada Biro Angkasa, Bank Islam, Tabung Haji, KWSP - semua sekali 21 jenis potongan caruman yang tertunggak. Senarainya terlalu panjang. Ia nampak serius. Ia menyusahkan guru-guru terbabit dalam banyak segi. Ia menggambarkan kedudukan kewangan negeri yang tenat. Jika benar kewangan kerajaan negeri tenat, apa patut dibuat oleh pimpinannya? Terus boros? Membazir? Bersuka hilai ke luar negara? Menjual aset negeri di bawah nilai pasaran?

Seminggu dua yang lalu, mudir YIK di bawa melawat Indonesia. Saya tidak berhasrat mengkritik para mudir atas lawatan ini kerana mereka mengeluarkan wang sendiri bagi menampung perbelanjaan. Saya tertanya apa perlunya Exco dari portfolio lain dan Speaker turut sama? Bukankah itu memakan belanja? Jika belanja itu dijimatkan, sedikit sebanyak ia boleh menampung caruman yang tertunggak itu.

KE (Ketua Eksekutif) sebuah agensi baru pulang dari lawatan ke Moscow, selepas seminggu dua sebelumnya melawat Afrika Selatan. Mudah-mudahan ada pelaburan dari Rusia dan untungnya boleh menampung tunggakan itu?

Cuba lihat negara mana lagi yang tidak dilawatinya? Di tengah tukaran wang menjunam, 14 orang anggota kerajaan baru-baru ini melawat Jepun. Kalau Tok Guru masih hidup, saya yakin seratus peratus lawatan itu tidak akan diluluskan. Mana lebih mustahak, antara lawatan ke Jepun atau menjelaskan tunggakan caruman?

Pemuda parti kerajaan baru-baru ini mengadakan himpunan 10k di Pasir Puteh. Katanya tiga exco masing-masing menyumbangkan RM 100 ribu. Maknanya RM 300 ribu paling tidak, wang kerajaan hangus. Jika RM 300 ribu itu didahulukan kepada YIK?

Saya tidak tahu berapa pula wang yang dibelanjakan untuk pelbagai himpunan yang lain sehari dua ini.

Adakah anda tidak terasa malu dan segan dengan diri sendiri?

Husam Musa
Adun Salor
4 Muharam 1437/17 Oktober 2015

Rabu, 14 Oktober 2015

IKAN CENCARU, IKAN GELAMA, DAPAT KAWAN BARU TINGGAL KAWAN LAMA!





Senyum manis, bergelak ketawa mike semua yer.... Teringat pantun budak-budak dulu; Ikan cencaru ikan gelama, dapat kawan baru tinggal kawan lama!

Jangan marah beb... Ini kunjungan hormat saja.... Tak ada apa- apa makna di belakangnya.

TAKPA MEREKA MUNGKIN MAKSUM!


Keluhan wartawan.... Tak pa la mungkin mereka maksum! Depa ingat Tuhan ajar depa sorok, lepas tu fitnah orang lain!

Takpa lah PAS bukan hak kita, biarlah dia buat macam mana pun. Mereka semua pemimpin berjiwa besar, sanggup memaafkan dan menerima sesiapapun termasuk yang pernah khianat kepada mereka kecuali AMANAH dan DAP mereka tak boleh maafkan!

Isnin, 12 Oktober 2015

KITA TERPAKSA AKUI BN LEBIH KUKUH!

Walaupun kelihatan pada zahirnya MCA, terutama melalui sayap pemudanya, marah-marah kepada PM, marah-marah kepada UMNO atas beberapa isu yang berlaku mutakhir ini, tetapi akhirnya bila Ajib Gor datang bawak "gula-gula" semuanya balik asal... Cuma gertak sambal saja!

Walaupun dihina macam mana sekalipun akhirnya MCA atau MIC akhirnya akan akur kepada Big Brothernya. BN kelihatannya begitu kukuh sekukuh Tembok Besar Negara China!

Bagaimana pula PR? Asas penggabungan sejak dari awal lagi amat disangsikan. Bagaimana mungkin nak ada satu gabungan yang kompak kalau asas gabungannya adalah "bersetuju untuk tidak bersetuju?" Amat lucu sekali. Namun atas semangat untuk melihat wujudnya satu gabungan yang dapat nencabar keegoan BN maka majoriti rakyat jelata menyambut baik gabungan ini demi masa depan negara tercinta.

Akhirnya apa yang dikatakan "bersetuju untuk tidak bersetuju" akhirnya membuahkan hasil. DAP dan PAS saling bercakaran. PAS boleh bertanding melawan rakan sendiri atas "takwil" mereka sendiri. Rakyat jadi terpinga-pinga!

Kini diusahakan pula gabungan baru dengan nama yang begitu molek, Pakatan Harapan! Betullah kata Mahfuz, jangan jadi Menaruh Harapan, lagu Zaiton Sameon!

Belum apa-apa lagi sudah terserlah akan kepincangan gabungan ini apabila PKR awal-awal lagi sudah berlagak Abang Besar dengan membuat resolusi bagi pihak PH. Yang paling menyolok hati adalah PKR boleh mengadakan sebarang hubungan dua hala dengan mana-mana pihak yang mereka sukai!

Sepatutnya sebarang resolusi dan arahtuju PH mestilah lahir daripada perbincangan wakil-wakil gabungan PH, PKR, DAP dan AMANAH!

Apakah gabungan ini juga berpegang kepada prinsip asas "bersetuju untuk tidak bersetuju?" Kalau begini keadaannya maka dengan berat hati kita terpaksa mengakui bahawa BN adalah satu gabungan yang amat kukuh untuk ditewaskan!

Adiossss...

Ahad, 11 Oktober 2015

PKR DALAM SITUASI DITELAN MATI EMAK, DILUAH MATI BAPA!

Timbalan presiden PKR, Azmin Ali telah menegas bahawa PKR akan terus menjalin kerjasama dengan PAS. Kita sebenarnya masih belum pasti samada kenyataan ini merupakan pendirian rasmi parti ataupun pendapat peribadi Azmi, sehinggalah presiden sendiri mengeluarkan kenyataan rasmi.

Sebelum ini juga diberitakan Tian Chua juga ada memberi kenyataan bahawa tanpa kerjasama PAS, PKR boleh melupakan PRU 14 atau menghadapi kekalahan teruk.

Kita boleh memahami akan kebimbangan mereka kerana PAS pasti akan meletakkan calon-calon menentang Pakatan Harapan. PAS pasti tidak akan memikirkan samada menguntungkan BN atau apa sekalipun kesannya asalkan dendam berbalas. Kalau semasa masih sekelambupun mereka sanggup membelot dengan menggunakan 1001 macan alasan, apatah lagi kalau mereka bergerak sendiri!

Kalau begini senarionya pastinya PKR yang paling parah. DAP mungkin tidak terkesan langsung dengan tindakan PAS kalau melihat pola undian komuniti Cina, malahan PAS yang akan kalah teruk jika melawan DAP.

AMANAH sebagai pendatang baru tentunya tidak memikirkan sangat soal kemenangan, soal berapa kerusi boleh menang!

Yang akan mengaut laba yang besar adalah UMNO, bukan MCA atau MIC!

Kalau begini keadaanya apa pilihan yang PKR ada? Azmin sendiri berkata buat masa ini kita tidak ada semua jawapannya!

Sabtu, 10 Oktober 2015

SAMPAI KE TAHAP INIKAH DENDAM PAS?

Surat Dari Ust Suhaimi Md Saad
Surat untuk semua yg mengenali saya...

Assalamualaikum....

Buat Sahabat sahabat Surau Taman Sri Penggaram
Dariku: Ust Suhaimi Saad

Semalam (9 okt 2015) sebelum kuliah maghrib di Simpang 3, saya singgah di Surau TSP untuk solat asar berjamaah. Ada beberapa jamaah yg sedikit terkejut dengan kemunculan saya.

Kini daripada 8 kuliah di Batu Pahat kini tinggal 1 kuliah. Inilah harga yg terpaksa saya bayar atas fitnah yg dipanjangkan pada ahli PAS di Batu Pahat.

Saya ke Surau TSP bukan untuk merayu supaya saya dibenarkan kuliah. Saya ke surau TSP untuk membersih nama saya.

Sebolehnya saya nak jumpa semua yg keliru dan dikelirukan tentang diri saya. Hanyalah En Misran dan Pak Syed yg dapat mendengar penjelasan saya semalam

Prinsip saya, bila turun kekuliah bukan sekadar memberi ilmu, tapi yg terlebih penting ialah silaturrahim. Kita bukan hanya akrab dlm ruang solat, tetapi lebih jauh dari itu.

Firman Allah..
Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara.
(Al-Hujurat)

Saya sedikit kecewa kerana kemelut yg melanda PAS diheret sehingga menghancurkan persaudaraan sesama kita.

Sebolehnya saya tak mahu terlibat dengan kemelut dalaman parti ini. Ianya sangat rumit. Sebab itu saya banyak diam dan tak sentuh isu ini dlm kuliah di Surau atau dimeja sembang antara kita.

Amat mengejutkan saya dituduh sudah meninggalkan PAS dan bersama Amanah.

Seharusnya tuduhan ini dirujuk pada saya. Saya masih Ahli PAS yg saya sertai sejak 1987.

Kenapa saya dituduh dan tak diberi peluang membela diri. Bukankah kita mendokong perjuangan menegakkan syariat Islam, yg mengandungi Hudud, Qisas dan Takzir. Hukum Syariat itu mengajar kita bukti adalah penting dan tertuduh mesti diberi ruang seluasnya untuk membela diri.

Jika dalam hal sekecil ini pun kita gagal menunjukkan akhlak bagai pendokong syariat.

Bagaimana utk kita dokong hukum tg lebih besar dari itu jika yg kecil ini kita gagal menurut lunas akhlak Islam

Tanyalah saya dulu. Sahkan dulu tuduhan ini.

Bukankah Allah telah berfirman...

Wahai orang orang yg beriman, jika datang pada kami satu berita yg dibawa oleh orang orang yg fasik, selidikilah dulu (tabayun) supaya kamu tak menghukum secara yg salah nanti kamu menyesal.
Al Hujuurat.

Dalam dakwah ini saya dah biasa disekat, dirampas microfhon dihalau dari masjid oleh YB UMNO tapi saya tak kecewa sebab yg buat ini adalah pendokong parti sekular. Mereka tidak berakhlak sebagaimana dasar parti mereka juga tak menekankan berakhlak Islam.

Tapi saya dihalang untuk kuliah di Batu Pahat oleh org yg mendokong perjuangan Islam yg bukan saya kenal sehari dua.

Saya ahli PAS di halang oleh orang orang PAS yg sepatutnya menjunjung akhlak Islamiah.

8hb Okt saya dah bertolak untuk ke TSP dan tatkala sampai Muadzam, saya hantar mesej saya akan sampai jam 3 utk kuliah muslimat.

Tiba tiba saya dihubungi dan di maklumkan kuliah saya di TSP di KIV. Alahai dah 2 jam saya memandu kenderaan menuju Batu Pahat. Terpaksa berpatah balik.

Saya rasa bagaikan saya dianiaya oleh ahli Parti yg saya sokong.

Suka saya jelaskan pendirian saya. Saya masih Ahli PAS walaupun sessi ini saya tak dilantik apa apa jawatan sessi (2015- 2017). Alhamdulillah saya redha sebab jawatan adalah amanah. Utk sesi ini Allah tak bebankan saya dengan amanah yg berat ini.

Walaupun tanpa jawatan, kerja dakwah mesti diteruskan. Dari dulu saya tak pernah ulas apa apa yg melibatkan kemelut parti dlm kuliah saya di mana mana surau dan masjid, sbb saya tahu yg mendengar bukan semua org PAS, ada UMNO, atas pagar dll.

Saya tak pernah menyerang, menyindir mana mana kumpulan dan mana mana pimpinan PAS dlm kuliah saya.

Saya berpendirian menyerang dalam kuliah mana mana pihak termasuk yg keluar PAS tak akan menguntungkan dakwah. Sbb depan kita dlm kuliah bukan hanya ahli PAS. Malah kita sebenarnya membuka pekung PAS dengan laungan pengkhianat, tebuk kapal, munafik haraki jika medan kuliah umum digunakan utk tujuan ini.

Akhirnya PAS di lihat, busuk dan menjijikkan


Dakwah ini adalah kewajipan org berilmu. Saya berlepas diri depan Allah jika nanti ditanya kenapa kamu tak menyampai dakwah ini. Inilah Jawapan saya..

"Ya Allah, ampunilah hambamu Ya Allah, bukan aku tak sampaikan agamamu tapi aku dihalang dari menyampaikan dakwah ini"

Lebih kecewa bila saya tahu fitnah ini datang dari agamawan dlm PAS

Atas nama agama dia tipu ahli PAS yg tak mengetahui apa apa. Agamawan seharusnya lebih berhati hati dalam menerima maklumat. Maklumat yg salah dari agamawan akan menyebabkan arang awam juga bertindak salah.

Saya tak akan maafkan org yg fitnah saya dan saya juga tak akan maafkan orang yg memanjangkan fitnah ini.

Terima kasih wahai sahabat atas apa yg kalian dah buat pada saya.

Pun begitu saya tidak sekejam orang yg menganiayai saya. Saya maafkan jika anda datang berjumpa saya. Sbb saya pun nak tahu tangan ghaib mana yang bertindak merugikan perjuangan Islam ini.

Maafkan saya atas luahan perasaan ini. Saya luahkan bukan tujuan untuk memohon berkuliah kembali. Sekadar utk membersihkan nama saya.

Tindakan terdesak ini tidak mengguntungkan dakwah dan tidak menguntungkan PAS.

Pesan saya Islam diamalkan dengan ilmu. Bukan dengan emosi dan semangat.

Pun begitu bila kita berjumpa dimana mana kita tetap bersaudara. Jangan putuskan silaturahim antara kita. Jika berpeluang saya akan terus mengunjungi surau TSP BUKAN untuk berkuliah tetapi utuk meneruskan silaturrahim antara kita yg telah terbina sekian lama

Terima kasih atas bantuan sepanjang perkenalan kita.
Selamat maju jaya buat Surau TSP.

Suhaimi Md Saad
Nom. Ahli PAS 0256874

APA KES BNM NI?

Sebagaimana yang kita telah ketahui, Bank Negara Malaysia telah membatalkan tiga kebenaran kepada 1MDB di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 (ECA) untuk pelaburan luar negara berjumlah RM7.53 bilion.

BNM turut mengarahkan supaya wang tersebut dibawa pulang semula ke Malaysia serta mengemukakan perancangan berkaitannya.

Alasan yang diberikan oleh BNM adalah disebabkan maklumat yang diberikan adalah tidak tepat atau tidak lengkap.

Persoalannya di sini, adakah ini bermaksud bahawa kelulusan yang diberikan berdasarkan maklumat yang tidak tepat atau tidak lengkap tersebut? Kalau ini keadaannya, bermakna samada berlaku kecuaian di pihak yang meluluskan permohonan tersebut? Ataupun berlakunya pengaburan maklumat yang diberikan?

KENYATAAN BERSAMA PAKATAN HARAPAN - MENJUNJUNG TITAH DYMM RAJA-RAJA

Pakatan Harapan menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja-raja Melayu mengenai isu-isu mutakhir dalam negara yang perlu diberi perhatian segera. Kami merafak sembah menjunjung kasih di atas keprihatian Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja-raja Melayu yang memberi pedoman kepada rakyat dalam isu-isu penting yang dititahkan.
Pakatan Harapan bersetuju bahawa isu kegawatan kewangan 1MDB dan risikonya terhadap ekonomi negara perlu ditangani dengan segera. Pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak lagi boleh melengah-lengahkan keputusan-keputusan yang penting mengenai 1MDB kerana kegawatan yang berlarutan telah dan akan membawa kesan buruk kepada ekonomi negara.

Oleh itu, Pakatan Harapan menyeru supaya semua institusi awam dan agensi penguatkuasaan di negara ini memainkan peranan dengan sebebas mungkin supaya kemelut 1MDB dapat diselesaikan segera seperti yang dititahkan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja-raja Melayu. Sebarang cubaan oleh mana-mana pihak untuk campur tangan atau mempengaruhi siasatan atau tindakan institusi awam dan agensi penguatkuasaan yang bertanggungjawab boleh ditafsirkan sebagai mengengkari titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja-raja Melayu.

Pakatan Harapan juga sedang memuktamadkan Belanjawan Pakatan Harapan yang akan dibentangkan sebelum pembentangan belanjawan kerajaan. Di antara fokus utama di dalam Belanjawan Pakatan Harapan ini adalah langkah-langkah muktamad untuk menyelesaikan masalah 1MDB ini dengan segera untuk melindungi rakyat daripada terus terheret dengan sentimen ekonomi yang murung akibat masalah 1MDB.

Pakatan Harapan menjunjung kasih di atas keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja-raja Melayu yang menitahkan supaya keharmonian kaum dan perpaduan dijaga demi kesejahteraan negara. Titah tersebut adalah tepat mengambil kira pelbagai kejadian akhir-akhir ini yang seolah-olah cuba melaga-lagakan satu kaum dengan kaum-kaum yang lain kebelakangan ini.

Oleh itu, Pakatan Harapan mengajak semua rakyat Malaysia untuk bersama-sama menghayati titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja-raja Melayu itu agar menghindari perbuatan atau pengucapan yang menyinggung perasaan orang lain terutamanya yang bersabit kaum dan agama. Pakatan Harapan akan terus memainkan peranan menemukan rakyat pelbagai kaum, agama dan latar belakang untuk memupuk budaya saling memahami bagi mengendurkan keadaan jika ada percubaan untuk menimbulkan ketegangan kaum dan agama.
Kami berdoa agar Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja-raja Melayu akan terus memayungi rakyat jelata dalam mengharungi cabaran mutakhir ini.

YB  DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden KEADILAN
YB LIM KIT SIANG
Ketua Parlimen DAP
YBHG MOHAMAD SABU
Presiden AMANAH
8 OKTOBER 2015

Jumaat, 9 Oktober 2015

MALAYSIA NEGARA PARIA - CHE DET

Selepas seorang lagi ditahan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dalam isu berkaitan 1MDB, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengeluarkan kenyataan kerasnya.

Di mata dunia, Malaysia sudah menjadi negara paria, negara yang sesiapa sahaja boleh diheret dan disoal siasat oleh polis, ditahan dan didakwa melalui undang-undang yang disalah guna dalam negara ini,” katanya.

Mahathir membangkitkan penahanan bekas pemimpin akar umbi Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan terbaru peguamnya Matthias Chang bawah Sosma.

Mereka dikaitkan dengan dakwaan cuba mensabotaj negara ini selepas Khairuddin membuat laporan berkaitan isu 1MDB di luar negara, termasuk biro siasatan persekutuan (FBI) Amerika Syarikat.

Katanya, ramai orang yang tahu berkaitan dakwaan salah laku dalam kes 1MDN tidak akan tampil kerana bimbang ditahan bawah Sosma. - Mkini

KALAU USUL INI DITERIMA, PERGI MAMPUSLAH DENGAN PKR!

Aku merupakan salah seorang ahli PKR yang mendaftarkan diri sejak mula ia dilancarkan, di tengah- tengah iklim politik yang amat membara ketika itu. Aku terus berjuang dalam parti yang aku sanjungi dan pernah memegang jawatan Ketua Penerangan Cabang, walaupun ketika itu aku masih menjawat jawatan dalam agensi kerajaan.

Namun akhir-akhir ini aku seakan-seakan amat tawar hati dengan parti yang pernah ku sanjungi. Sekian lama aku menjeruk hati.

Tapi bila mendapat berita kononnya ada 'bahlol' yang ingin membawa usul kepada presiden parti untuk meluluskan kerjasama dengan PAS supaya PKR dan PAS tidak bertembung sesama sendiri, namun PAS bebas pula bertanding di mana-mana kerusi yang ditandingi AMANAH dan DAP,  maka aku ingin mrempersoalkan kejujuran parti aku ini terhadap Pakatan Harapan yang PKR sendiri yang menjuarai penubuhannya.

Maka sekiranya usul ini diluluskan aku ingin katakan bahawa PKR adalah pengkhianat dan sama bahlol dengan yang pembawa usul itu, dan aku akan ucapkan SAYONARA PKR, dan aku akan mengetuk pintu AMANAH ataupun DAP!

SIAPA YANG LEBIH PENGKHIANAT?

KERJASAMA DENGAN 'PENGKHIANAT'

Saya sebenarnya amat tidak berminat untuk berbalah dengan PAS. Tetapi malangnya disebalik kepincangan pentadbiran negara, isu perkauman yang semakin meruncing, isu 1MDB dan sebagainya; PAS kelihatan bagaikan tidak mampu bercakap mengenai perkara lain selain mengenai parti Amanah Negara. Kami terus difitnah dan digelar dengan gelaran yang menghina.

Dan apabila Presiden PAS sendiri mula menggelar AMANAH sebagai ‘pengkhianat’, maka kami perlu respon. Dalam masa terdekat ini saya akan turut mengemukakan respon terhadap fitnahnya bahawa kami mahu jadikan PAS parti sekular dan sebagainya.

Walaupun adalah lebih wajar sekiranya PAS menumpukan pada usaha menjatuhkan UMNO, tetapi memusnahkan AMANAH telah menjadi keutamaannya pada ketika ini.

ISU ‘PENGKHIANAT’

Saya membaca dengan penuh tekun laporan The Malaysian Insider berhubung satu ucapan oleh Ustaz Hadi Awang, Presiden PAS. Beliau dilaporkan berkata bahawa PAS tidak boleh berkerjasama dengan parti Amanah Negara yang beliau sifatkan sebagai “pengkhianat kepada perjuangan PAS”. Beliau turut dilaporkan sebagai berkata, PAS bersedia bekerjasama dengan pihak lawan, namun tidak dengan pengkhianat.

Video ucapan Presiden PAS ini telah turut disebar melalui FB dan WhatsApp oleh ahli PAS dan amat jelas sikap tegas beliau akan menjadi alasan untuk PAS tidak menyertai PR 2.0. Saya turut menjangkakan bahawa kemungkinan besar AMANAH akan dipersalahkan atas ketidak bersamaan PAS dalam pembentukan PR 2.0, sedangkan pada hakikatnya Presiden sudah tidak berminat dengan PR dan lebih berminat untuk berkerjasama dengan ‘pihak lawan’.

PEMIKIRAN PRESIDEN PAS

Yang menjadi sedikit aneh pada saya adalah apabila sikap tegas dan tiada kompromi terhadap ‘pengkhianat’ ini tidak mampu menghalang Presiden PAS untuk sendiri mengkhianati PR. Dan ini dilakukan beliau bukan sekali tetapi berulang kali! Amat pelik bagi saya apabila seseorang mengutuk dan mengkritik sikap tertentu tetapi apabila dirinya sendiri melakukannya, terhadap rakan-rakannya sendiri, ianya seolah-olah tidak mengapa. Adakah ianya hanya satu kesalahan apabila PAS ‘dikhianati’, tetapi tidak mengapa untuk PAS mengkhianati?

Adakah mungkin Presiden PAS telah lupa mengenai peristiwa Kota Damansara? Di mana persetujuan telah tercapai di setiap peringkat samada Kawasan, Negeri dan Pusat, bahawa itu adalah kerusi PKR tetapi atas desakan tertentu, maka dibenarkan menantunya meletakkan rakannya sebagai calon PAS. Dan akhirnya calon UMNO/BN menang hasil dari pengkhianatan PAS! Tidakkah itu satu pengkhianatan? Atau ianya hanya khianat apabila PAS yang dilukai? Tetapi apabila ianya dilakukan oleh PAS maka ianya bukan pengkhianatan kerana khianat hanya boleh berlaku terhadap PAS?

Begitu juga dengan kata-kata kesat beliau terhadap calon PKR Kota Damansara yang diucapkannya sewenang-wenangnya, menghukum Dr. Nasir sebagai manusia yang ‘mempertuhankan Marx’? Sedangkan jumpa dan berbincang dengan Dr. Nasir sekali pun tidak pernah! Tidakkah itu juga satu pengkhianatan? Sudah pasti kata-kata sebegitu telah menyumbang kepada kemenangan UMNO/BN dan kekalahan PKR!

Sepertimana juga dengan tuduhan liar ‘pil kuda’ tanpa dibawanya saksi ataupun bukti tetapi main cakap ikut sedap mulut semata-mata. Sedangkan PKR itu rakan. Bukankah meluahkan tuduhan sebegitu di khalayak umum juga satu pengkhianatan?

Saya tidak mahu menceritakan setiap satu peristiwa pengkhianatan yang telah berlaku terhadap rakan-rakan dalam PR. Tetapi ini sekadar untuk membuka mata mereka yang dengan mudah hendak menuduh orang lain ‘pengkhianat’ seolah-olah diri mereka bersih dan bebas dari apa-apa salah laku. Kesemua tindakan khianat ini terhadap rakan PR telah ditegur dan cuba diperbetulkan tetapi akhirnya kami pula dituduh lebih PR dari PAS! Sedangkan membetulkan perjalanan PAS adalah untuk kepentingan PAS! Namun apakan daya, apabila dianggap PAS boleh buat sesuka hatinya kerana ianya PAS kerana hanya PAS yang Islam.

PENGKHIANATAN TERBESAR: TERTUBUHNYA KERAJAAN PAS/UMNO DI SELANGOR

Tetapi usaha khianat yang terbesar yang tidak boleh dilupakan ialah apabila Presiden PAS dengan sedar dan sengaja, bersekongkol dengan UMNO untuk pertahankan TSKI sebagai MB Selangor semasa krisis MB Selangor yang lepas. Melalui tindakan beliau, TSKI telah memecat semua exco PKR dan DAP! Kerajaan PAS/UMNO dengan TSKI telah berkuasa di Selangor untuk tempoh melebihi seminggu!

Akhirnya kerajaan PAS/UMNO dengan TSKI telah dijatuhkan apabila 2 ADUN PAS menyatakan mereka tidak sokong TSKI sebagai MB. Mereka berdua telah menanda-tangani Surat Akuan Sumpah menyokong DS Wan Azizah sebagai MB bersama 28 ADUN yang lain dari PKR dan DAP.

Kemarahan Presiden PAS begitu memuncak sehingga semasa muktamar PAS ke 59 beberapa bulan selepas itu beliau keluarkan tuduhan adanya “Broker dan Barua” serta tuduhan 2 ADUN dibeli mengumukakan sebarang bukti mahu pun saksi. Presiden PAS marah kerana ‘dikhianati’ 2 ADUN tersebut tetapi dia tidak nampak pengkhianatan yang telah dia sendiri lakukan terhadap PR dan pengundi Selangor.

Tidak memadai dengan itu, sebagai tindak balas, Presiden PAS telah menawarkan kepada Azmin Ali jawatan MB sekiranya beliau masuk PAS bersama dua atau tiga ADUN PKR yang lain. Ini akan dilakukan setelah TSKI memegang jawatan MB terlebih dahulu untuk tempoh 6 bulan. Adalah jelas bahawa PAS akan hanya mampu mengekalkan TSKI sebagai MB untuk tempoh 6 bulan dan menggantikannya dengan Azmin sekiranya usaha PAS ini disokong UMNO. Ini kerana PAS hanya mempunyai 13 kerusi (tanpa 2 ADUN yang pasti tidak akan sokong). Dan sekiranya dicampur dengan TSKI dan Azmin bersama 3 lagi ADUN PKR, jumlahnya hanya 18 kerusi ADUN. Sedangkan 29 diperlukan untuk membentuk kerajaan. Sudah pasti kekurangan ini tidak akan ditampung oleh PKR atau DAP. Maka ianya akan ditampung oleh UMNO yang mempunyai 12 kerusi ADUN!

KESIMPULAN

Sekiranya kerjasama tidak boleh diadakan dengan ‘pengkhianat’ maka sudah pasti yang pertama tidak boleh diadakan kerjasama adalah dengan PAS.

Bagi kami dalam Amanah, kami dianggap pengkhianat kepada PAS kerana menentang pengkhianatan PAS terhadap PR. Yang menentang pengkhianatan dianggap pengkhianat dan yang mempertahankan pengkhianatan dianggap penyelamat.

Dengan sikap sebegitu, tidak salah untuk ditanya adakah masih ada tempat lagi bagi PAS dalam politik masa depan Negara?

WaLlahu 'Alam 
KHALID SAMAD