PETALING JAYA: Dua individu penting dalam PAS perlu bertanggungjawab terhadap perlaksanaan hudud di Kelantan yang hingga kini gagal membawa usul pindaan Akta 355 ke Parlimen.
Perkara itu ditegaskan bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa apabila menyatakan dua individu terbabit adalah Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.
“Saya mahu tiga individu itu dengan dikecualikan Presiden supaya bertanggungjawab dan harus memikul bebanan ini. Takiyuddin kalau tidak boleh jelaskan perkara ini boleh berhenti, letak jawatan kerana dia kena bertanggungjawab. Datuk Nik Amar kalau dia terbabit dia mesti letak jawatan,” katanya lapor Sinar Harian Online.
Husam berkata demikian ketika menjawab soalan moderator, Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff pada Forum Akta 355 dan Hudud di Malaysia di Tunjong Banquet di Kota Bharu.
Mohd Amar merupakan Pengerusi Teknikal Jawatankuasa Kanun Jenayah Syariah II Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah manakala Takiyuddin merupakan Ketua Sekretariat Tetap Hudud Negeri.
Terdahulu, Husam yang juga ADUN Salor mendakwa, matlamat melaksanakan hukum hudud di Kelantan hanya mainan politik PAS dan UMNO.
Menjelaskan dakwaan itu, Husam berkata, pada 18 Mac tahun lalu terdapat seorang wakil kerajaan Pusat datang ke pejabat kerajaan negeri untuk memaklumkan usul berkenaan boleh dibawa ke Parlimen dan meminta Presiden PAS ketika itu membawa usul itu dengan serta-merta.
“Yang datang 18 Mac adalah wakil sorang menteri bawa cadangan serta merta, perkara itu tidak dimaklumkan kepada PAS Pusat dan dua individu tersebut terbabit dengan perbincangan itu adalah mungkin Datuk Mohd Amar dan Datuk Takiyuddin.
“Saya sempat berjumpa presiden di rumahnya dan beliau (Abdul Hadi) memberi keyakinan bahawa Kerajaan Pusat mengatakan usul tersebut boleh dibentangkan di Parlimen pada April (2015)
“Bagaimana agenda sebesar itu hanya dibincangkannya dengan tiga orang sahaja dan akhirnya hari ini kita tidak dengar apa-apa. Sudah jelas yang menentukan perkara ini bukan PAS Pusat sebaliknya tiga individu berkenaan,” ujar beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan