Meneliti kemelut yang melanda rentetan daripada isu penggantungan lima orang mahasiswa KUIN, seakan-akan merobek sedikit sebanyak persepakatan dan persefahaman parti-parti yang bergabung di dalam PR, malahan juga tempiasnya turut dirasakan mengocak sedikit sebanyak ketenangan dalam PAS, parti yang menjadi tunjang kerajaan PR di Kedah.
Kemelut ini turut juga mengheret beberapa NGO dan tokoh-tokoh tertentu yang selama ini dilihat condong kepada PR, memberi komen-komen pedas kepada peneraju kerajaan Kedah, Dato' Seri Azizan Abdul Razak kerana diperkirakan tidak selari dengan pendirian rasmi PR.
Namun kita perhatikan, kebanyakan daripada pengkritik-pengkritik bukan berhadapan dengan Ustaz Azizan sendiri untuk meluahkan segala yang terbuku dan berkematu di hati, sebaliknya menjadikan gelanggang media sebagai tempat melampiaskan kemarahan. Para wartawan dijadikan sebagai orang tengah untuk melahirkan rasa hati. Akhirnya kemelut dan kemeluat menjadi semakin besar, kesalahfahaman menjadi semakin nyata dan ketara. Rakyat di bawah yang tidak tahu hujung pangkal menjadi keliru dan meluat.
Akhirnya Ustaz Azizan menjelaskan bahawa penggantungan lima orang mahasiswa tersebut bukan dibuat di bawah AUKU, akta yang ditentang secara total oleh PR, tetapi dibuat di bawah akta 555, akta Institut Pendidikan Tinggi Swasta 1996.
Mungkin ada pihak akan mempertikaikan lagi, dan terus menerus menyemarakkan lagi isu ini dengan berkata akta mana yang digunakan tidak penting, tetapi soalnya lima orang mahasiswa ini telah digantung, dan tiada pembelaan?
Lantas apakah bermaksud, kekebasan akademik, kebebasan mahasiswa adalah kebebasan total dan mutlak melakukan apa saja di kampus mahupun di luar kampus? Atas nama kebebasan mahasiswa, apakah mereka boleh bertindak sehingga ke tahap mengganggu gugat kerajaan negeri?
Tentulah ada sesuatu peraturan, undang-undang mahupun akta yang boleh mengawal, membicarakan dan menghukum para mahasiswa yang terbabit melakukan apa-apa salah laku. Yang penting apakah dalam prosiding yang dijalankan itu mahasiswa diberi kesempatan dan peluang yang seluas-luasnya membela diri? Apakah tidak mungkin lima orang mahasiswa tersebut dipergunakan oleh pihak-pihak yang berkepentingan untuk mengganggu gugat kerajaan negeri?
Dalam kita menghentam Ustaz Azizan, takut-takut kita terperangkap dalam jerat yang disediakan oleh parti lawan. Oleh kerana terlalu ghairah untuk menonjolkan diri sebagai pejuang kebebasan dan pendokong kepada gerakan mahasiswa secara tidak sedar kita menjahanamkan sendiri reputasi salah satu kerajaan PR. Tenaga yang sepatutnya kita simpan untuk "bertempur" dalam peperangan yang lebih besar menghadapi musuh sebenar, kita kini menjadi lesu kerana kehabisan tenaga dan peluru bertempur sesama sendiri.
Ingat! gerbang PRU 13 juga mula menjengah kita!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan