Sebagaimana yang Tinta Tajam nukilkan sebelum ini "ISA Mansuh, Najib Tuai Laba" , hari ini media-media utama mula mencanangkan akan kebijaksanaan dan keberanian Najib memansuhkan ISA. Maka segala puji-pujian melangit dihamburkan bagi mengangkat darjat Najib setinggi yang boleh. Tokoh-tokoh politik pembangkang juga diberitakan kononnya turut memuji akan langkah berani sang PM itu. Paling mengharukan adalah pemansuhan ISA ini menyebabkan seorang "tokoh politik" , Zaid Ibrahim memohon maaf kepada Najib. Hebat!
Lanjutan daripada itu juga, siri-siri propaganda bagi mewajarkan pengenalan akta baru menggantikan ISA mula dipalu melalui saluran media. TV3 mula menayangkan siri propaganda tersebut dengan kisah pengeboman di Bali. Di akhir segmen tersebut dinyatakan bahawa seorang pakar bom asal Malaysia yang merupakan bekas ahli JI amat bersetuju supaya akta baru diperkenalkan bagi membendung pengganas dan keganasan.
Semua pihak pasti bersetuju sekiranya akta yang bakal diperkenalkan kelak benar-benar untuk membendung pengganas. Namun sejarah telahpun mengajar kita. ISA yang diperkenalkan bagi tujuan membendung fahaman dan keganasan komunis akhirnya digunakan kepada lawan politik mereka.
Amat mudah akta anti pengganas ini digunakan kepada aktivis pembangkang. Tuduh saja mereka terlibat dengan pengganas, tak ada bukti, adakan bukti. Bukankah sebelum Bersih 2.0 tempoh hari pihak berkuasa telah menemukan "bahan bukti" yang amat kukuh untuk mengaitkan aktiviti Bersih 2.0 diresapi unsur-unsur keganasan? Pihak berkuasa telah menjumpai bom petrol, parang dan sebagainya. Sekarang apa dah jadi dengan bahan bukti tersebut?
Sebenarnya permainan politik UMNO/BN amat mudah dibaca, tetapi pihak pembangkang pula amat mudah terperangkap!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan