RENUNG-RENUNGKAN LAH WAHAI SAHABAT


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Surah A-Maidah ayat 8)


Jumaat, 16 September 2011

ISA MANSUH, NAJIB TUAI LABANYA

SENYUM ADA MAKNA TU!
Maka bersorak-sorailah akan sekelian hamba rakyat menyambut perutusan maha penting yang baru sebentar tadi dibacakan oleh Sang Menteri Perdana di hadapan sekumpulan juak-juak hulubalang dan pembesar negara.

Akan isi perutusan yang dikhabarkan maha penting itu adalah termansuhnya undang-undang warisan "Penaung Tanah Melayu" iaitu ISA. Turut dikhabarkan bahawa beberapa akta-akta lapuk dan ketinggalan zaman akan turut dimansuhkan. Ada yang gembira, ada yang melompat, ada yang bertepuk tangan, malahan ada yang melaung merdeka! merdeka! merdeka! Tetapi betulkah rakyat bergembira dengan berita ini?

Apa yang aku perhatikan ketika perutusan penting tersebut dibacakan, pelanggan yang ramai disebuah restoran langsung tidak ambil pot walaupun suara TV dikuatkan oleh tuan yang empunya restoran. Ini membawa maksud bahawa kebanyakan rakyat marhaen tidak ambil kisah langsung sama ada ISA ada ataupun tiada. Bagi mereka harga secawan kopi dan sekeping roti canai yang sedang mereka nikmati itu adalah lebih relevan dalam hidup mereka. Mereka juga mungkin lebih memikirkan akan bencana yang lebih besar yang bakal mereka hadapi apabila GST terlaksana kelak.

Kita akui bahawa pemansuhan ISA itu sedikit sebanyak adalah hasil perjuangan rakyat dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat serta beberapa NGO yang condong kepada kita. Namun apakah kita perlu bergembira di atas "kejayaan" ini? Apakah Najib terlalu lemah sehingga sanggup menerima permintaan pembangkang? Atau apakah Najib begitu prihatin dan mendengar hati nurani keluarga-keluarga mangsa tahanan ISA?

Saya amat pasti jawapannya adalah tidak!  Apakah dengan termansuhnya ISA tidak akan ada lagi kekangan terhadap pemimpin-pemimpin politik pembangkang? Apakah mereka tidak akan menggunakan lagi SPRM untuk menekan dan mengaibkan pemimpin dan penyokong pembangkang? Apakah aparat-aparat yang lain tidak akan digunakan untuk memberi kelebihan politik kepada mereka? Apakah tidak akan ada lagi manipulasi sistem pilihanraya dan badan kehakiman?

Cuba kita lihat bagaimana mereka menekan dan melanyak Mat Sabu. Lihat bagaimana mereka melanyak dan mengaibkan Tan Sri Khalid Ibrahim, Lim Guan Eng, Ustaz Azizan dan Tok Guru. Dan lihat juga apa yang menimpa DSAI. Kesemua mereka tidak di ISAkan tetapi mereka diserang bertubi-tubi dari segenap penjuru dengan berbagai senjata!

Dan ada juga di kalangan kita yang menafsirkan kononnya tepukan gemuruh dari para hadirin ketika Najib membacakan keputusan pemansuhan ISA itu sebagai tanda mereka juga bencikan ISA dan menyambut baik langkah tersebut. Sebenarnya mereka bertepuk sorak adalah sebagai memuji dan mengiktiraf keberanian Najib mengambil langkah drastik tersebut yang selama ini tidak berani diambil oleh PM-PM yang terdahulu. Mereka bertepuk sorak kerana Najib muncul sebagai pemimpin yang gah, berani dan bersikap terbuka. Dengan itu juga mereka berharap segenap lapisan rakyat juga akan menobatkan Najib sebagai pemimpin yang hebat!

Natijahnya, kita yang memperjuangkan pemansuhan ISA, Najib yang mendapat labanya! Alangkah manisnya dan lebih bermakna kalau pengisytiharan pemansuhan ISA itu diumumkan oleh Perdana Menteri yang baru dari Pakatan Rakyat selepas PRU ke-13.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan