RENUNG-RENUNGKAN LAH WAHAI SAHABAT


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Surah A-Maidah ayat 8)


Khamis, 19 Januari 2012

MAHATHIR CIPTA SLOGAN, GUAN ENG YANG LAKSANAKAN!


Kita sudah mendapat apa yang dicari, jangan lepaskannya pula — Aspan Alias


Dr Mahathir mengambil alih jawatan PM dari Datuk Hussein Onn pada September 1981 dan sejak itulah banyak slogan baru yang diketengahkan oleh pentadbiran beliau dan pimpinan selepas beliau. Kita faham kenapa slogan besar-besar diketengahkan, iaitu kerana hendak menunjukkan kelainan dari pentadbiran sebelumnya (pentadbiran Datuk Hussein Onn).
Saya sendiri sudah lupa kebanyakkan slogan itu, tetapi saya masih ingat satu slogan pentadbiran Dr Mahathir, iaitu Bersih, Cekap dan Amanah (BCA). Slogan BCA ini masih saya ingat disiarkan melalui media cetak dan letronik dengan luas sekali dan rakyat termasuk diri saya amat menyokong dan menyanjungi Dr Mahathir kerana berusaha untuk mencari kelainan dari yang sebelumnya.
Tetapi apabila dikaji dan dibuat penganalisisan yang betul, kita lihat slogan itu hanya tinggal slogan semata-mata. Hasilnya Bersihnya tidak ada, Cekapnya entah ke mana dan jauh sekali kita boleh melihat sikap Amanah di kalangan pimpinan dan kerajaan. Zaman inilah projek ‘express’ dengan skala besar dilakukan dan telah menghasilkan rasuah yang besar melalui projek-projek raksaksa ini. Hampir kesemua projek raksaksa ini dilakukan secara runding terus. Para konsultan pun terlibat dalam menaikkan harga projek-projek runding terus ini dan kumpulan kroni-kroni in menjadi kaya raya secara tidak amanah.
Tidak payah diulangi apa-apa yang telah dilakukan secara tidak amanah dan bersih itu kerana rakyat sudah mula menilai dan memberikan persepsi yang sebenar terhadap kepimpinan Dr Mahathir itu. Walau bagaimanapun saya tetap menyokong slogan anjuran Dr Mahathir itu sehingga ke hari ini. Saya tahu Dr Mahathir telah membuahkan slogan yang amat baik dan saya menyokong slogan anjuran beliau itu sehingga sekarang.
Oleh kerana Dr Mahathir bijak mewujudkan slogan terbaik tetapi beliau tidak mampu untuk merealisasikannya, maka saya terus tercari-cari siapakah yang boleh melakukan serta merealisasikan slogan itu. Saya dan beberapa orang yang lain berfikir dan mencari pihak mana yang dirasakan mampu untuk melaksanakan slogan itu secara realistik.
Akhirnya pencarian saya itu berjaya juga….mungkin kerana berkat kesabaran saya itu. Kita telah melihat kerajaan dan pimpinan Pulau Pinang lah yang telah berjaya melaksanakan slogan Bersih, Cekap dan Amanah itu dengan begitu baik sekali. Saya mengucapkan syabas kepada Lim Guan Eng yang begitu serius dalam melaksanakan apa yang sepatutnya dilaksanakan sebagai Ketua Kerajaan sebuah negeri. Secara tidak langsung slogan Bersih, Cekap dan Amanah itu dilaksanakan oleh kerajaan Pulau Pinang dengan begitu ketara sekali.
Semasa Guan Eng mengambil alih pimpinan kerajaan Pulau Pinang pada 8hb Ogos 2008 yang lalu, Pulau Pinang mempunyai hutang dengan Kerajaan Pusat sebanyak RM630 juta. Sehingga penghujung tahun 2011, Pulau Pinang telah membayar kembali hutang-hutang itu kepada Kerajaan Pusat sebanyak 95 peratus, iaitu sebanyak RM600 juta. Ia meletakkan Pulau Pinang sebagai negeri yang hampir berjaya membayar kembali hutang itu kesemuanya kepada Kerajaan Pusat. Ini merupakan rekod kepimpinan yang sangat cekap seperti yang di slogankan oleh Dr Mahathir itu.
Tindakan kerajaan Pulau Pinang mengisytiharkan harta Ketua Menteri dan exco-exconya itu amat meyakinkan rakyat terhadap kepimpinan Pulau Pinang. Ia boleh pula dibaca dan dilihat oleh rakyat melalui laman web kerajaan Pulau Pinang itu. Ia merupakan tindakan keterbukaan yang maksima dan rakyat tidak lagi merasa sangsi terhadap keunggulan pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang itu. Rakyat Pulau Pinang merasakan yang mereka adalah bersama dan sebahagian dari pentadbiran Kerajaan Negeri itu.
Kerajaan Negeri pula merasakan yang rakyat patut tahu secara telus tentang ketelusan kepimpinan yang mereka telah pilih semasa PRU yang lalu. Berani mengisytiharkan harta itu merupakan satu tindakan yang paling terpuji dan kalau benar Kerajaan Negeri-Negeri tadbiran BN yang lain itu bersih, maka tidak ada sebab Negeri-Negeri tadbiran BN tidak boleh melakukan apa yang dilakukan oleh kerajaan Pulau Pinang.. Dengan tindakan mengisytihar harta itu akan melenyapkan rasa sangsi dan curiga rakyat terhadap kerajaan pimpinan Guan Eng itu.
Saya percaya, saranan Guan Eng supaya ahli-ahli jemaah kabinet Kerajaan Pusat mengisytiharkan harta itu tidak akan dilakukan kerana ia akan membongkar segala ketidaktelusan barisan pimpinan BN sekarang ini. Bagi saya, untuk mengisytiharkan harta oleh menteri-menteri BN dalam Kerajaan Pusat BN itu adalah satu perkara yang mustahil berani dilakukan oleh PM Najib….bak kata AR Tompel dalam satu filem lakonannya beliau berkata…impossible…impossible!.
Tanpa slogan yang besar-besar dan hebat-hebat kerajaan Pulau Pinang telah melakukan apa yang di slogankan oleh kerajaan BN sendiri. Pendeknya BN hanya pandai berslogan, kerajaan PR Pulau Pinang dan negeri-negeri tadbiran Pakatan Rakyat pula telah melaksanakan lebih dari apa yang telah dislogankan oleh Dr Mahathir dan pimpinan-pimpinan selepas beliau.
Rakyat masih mempunyai harapan untuk mendapatkan kerajaan yang telus dan jujur. Apa yang rakyat harus lakukan ialah untuk memilih pihak yang berkemampuan mentadbir kerajaan dengan telus dan yang memihak kepada rakyat seperti di Pulau Pinang dan Selangor dalam pilihanraya yang akan datang.
Sesungguhnya hanya tahap kejujuran dan etika yang tinggi sahaja yang boleh melaksanakan pentadbiran yang kita lihat di Pulau Pinang dan kerajaan Negeri Selangor serta lain-lain kerajaan tadbiran Pakatan Rakyat.
Oleh kerana sudah terjumpa yang baik ini, elok jangan kita lupa untuk mengekalkan kepimpinan ini lagi. Kita telah melalui jalan yang payah untuk mendapatkan apa yang telah kita dapati ini. Jagalah ia dengan baik dan jangan terlepas dari kita lagi. — http://aspanaliasnet.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan